Batik Air sambut hubungan baik sedekad bersama Australia baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan, Batik Air hari ini meraikan ulang tahun ke-10 perkhidmatan Kuala Lumpur–Perth, menandakan satu dekad hubungan udara yang kukuh antara Malaysia dan Australia Barat sejak laluan itu diperkenalkan pada 2015.

Dalam kenyataannya, Batik Air memaklumkan laluan berkenaan kini menjadi antara sambungan antarabangsa paling stabil dalam rangkaiannya, digunakan secara konsisten oleh pelancong, pelajar dan komuniti perniagaan di kedua-dua negara.

Bagi memperingati pencapaian itu, sambutan khas diadakan di Lapangan Terbang Perth dengan pameran kenangan, hadiah eksklusif dan aktiviti kejutan untuk penumpang.

Pemangku Ketua Pegawai Komersial & Penerbangan Lapangan Terbang Perth, James Gorton berkata, kerjasama bersama Batik Air sejak 10 tahun lalu telah membantu menjadikan Malaysia pasaran pelawat antarabangsa kelima terbesar bagi Australia Barat.

Malah kerjasama ini telah menyumbang kira-kira AS$131 juta perbelanjaan pelawat pada Tahun Kewangan 2025.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Batik Air atas pencapaian ini dan berharap kerjasama ini terus diperkukuhkan pada masa depan,” katanya.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, laluan Kuala Lumpur–Perth kekal menjadi bukti kepentingan hubungan udara dalam menghubungkan masyarakat, membuka peluang dan merancakkan pertumbuhan serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy

“Selepas sedekad, kami kekal komited memperluas rangkaian pintar yang menawarkan lebih banyak pilihan dan keselesaan kepada penumpang.

“Pada masa ini, Batik Air mengendalikan tujuh penerbangan terus seminggu antara Kuala Lumpur dan Perth, selain tujuh penerbangan seminggu satu hentian ke Denpasar, Bali,” ujarnya.

Dalam pada itu, Batik Air turut mengesahkan ia akan menambah 11 penerbangan terus tambahan pada Disember 2025 berikutan peningkatan permintaan penumpang dan pertumbuhan Perth sebagai destinasi pelancongan serta perniagaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai jadual penerbangan, orang ramai boleh merujuk aplikasi mudah alih atau laman rasmi Batik Air. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast