KUALA LUMPUR – Aktivis Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fairul al-Qasas menjangkakan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli akan menubuhkan parti politik baharu.
Menurutnya, desas-desus atau perbincangan mengenai perkara itu pernah berbangkit sebelum ini iaitu ketika pemilihan PKR pada 2022, sekiranya Rafizi tewas menentang Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Bagaimanapun, ujarnya, perbincangan itu terhenti apabila Rafizi berjaya memenangi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan tersebut.
Namun, katanya, susulan kekalahan terbaharu Rafizi pada pemilihan PKR Jun lalu, ditambah dengan kenyataan beliau tidak lagi melihat jalan untuk kembali sebagai pemimpin masa depan PKR, Ahli Parlimen Pandan berkenaan dinilai akan menubuhkan parti politik baharu.
“Bagi memastikan penyokong beliau kekal semangat khususnya pengundi atas pagar (PAP), Rafizi akan sentiasa mengkritik keras kerajaan khususnya Anwar (Presiden PKR dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Tindakan (ini) dua dalam satu. Orang putih kata “killing two birds with one stone”.
“Ini dapat dilihat dalam beberapa isu di mana saya melihat, sebagai anggota parlimen kerajaan yang cerdik beliau sepatutnya boleh memberikan cadangan yang lebih baik berbanding membuat kritikan keras,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Fairul yang juga bekas Ketua Penerangan Cabang PKR Kuala Krau berkata, beliau menjangkakan parti baharu Rafizi tersebut akan ditubuhkan menjelang PRU-16 atau sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.
Ujarnya, parti politik baharu itu penting buat Rafizi yang pastinya sudah menjangkakan beberapa `orang kanan’ beliau tidak akan dicalonkan oleh PKR pada PRU-16 bagi mempertahankan kerusi mereka.
“Oleh itu dengan penubuhan parti baru, Rafizi bebas untuk mempertahankan Parlimen Pandan dan meletakkan orang-orang beliau bertanding di mana sahaja kerusi yang berpotensi menang,” katanya.
Tambahnya, beliau juga menjangkakan sekiranya menang pada PRU-16, parti baharu Rafizi akan bergabung membentuk kerajaan dengan parti lain terutamanya Pakatan Harapan (PH).
Ujarnya, beliau juga berpendapat parti baharu Rafizi hanya akan bertanding di kerusi yang berpotensi, atau kerusi yang ingin disabotaj.
“Saya jangkakan Rafizi mampu mempertahankan Pandan dan beberapa kerusi bandar yang lain.
“Landskap politik kita dah banyak berubah. Pengundi bukan lagi penyokong parti.
“Rakyat terus menilai. Rakyat akan memilih antara PH-BN untuk kestabilan politik atau parti baharu Rafizi untuk reformasi total,” katanya. – MalaysiaGazette
















