MELAKA – Seorang pengurus syarikat insurans mendakwa kerugian kira-kira RM30,000 selepas barang kemas isterinya dan bar emas simpanannya disyaki dilarikan pembantu rumah warga Indonesia yang baru bekerja, bulan lalu.
Mangsa, Muhammad Ariff Hezri, 29, berkata, kejadian disedari kira-kira jam 10.45 malam tadi ketika dia pulang ke rumahnya di Ayer Molek di sini sebelum mendapati amah berusia 25 tahun itu tiada di rumah.
“Hasil pemeriksaan di laci almari bilik tidur utama yang berkunci, mendapati empat utas rantai emas, lima bentuk cincin emas serta lapan keping gold bar dianggarkan bernilai RM30,000 sudah tiada.
“Saya dan isteri juga telah melihat sistem kamera litar tertutup (CCTV) di rumah dan mendapati amah kami yang baru sebulan bekerja keluar menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Axia pada jam 8 malam tadi,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Muhammad Ariff yang turut menunjukkan laporan polis dibuat di Balai Polis Tiang Dua, di sini pada jam 1.36 petang tadi mendakwa, pembantu rumahnya itu dipercayai memasuki bilik utama menggunakan kunci pendua.
“Kunci pendua memang disimpan di dalam stor sebelum saya, isteri dan anak keluar selepas waktu Maghrib pada jam 7.30 malam tadi dan pulang kira-kira tiga jam kemudian.
“Ketika itu, hanya pembantu rumah tinggal sendirian dan laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu, kejadian berkenaan turut tular di media sosial apabila dikongsikan pengadu sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubunginya. – MalaysiaGazette
















