MELAKA – Birkin International Hotel mempelawa orang ramai menyambut kemeriahan malam Krismas dengan pengalaman kulinari eksklusif melalui Christmas Eve Dinner Buffet pada 24 Disember ini.
Menampilkan hidangan laut premium, aneka daging yang dipanggang sempurna, juadah tradisi Krismas serta pencuci mulut buatan tangan, bufet istimewa ini menghidupkan suasana hangat, penuh kegembiraan dan kebersamaan pada malam penuh makna di Birkin Kitchen.
Executif Chef, Benny Chua yang mengetuai penyediaan menu bersama Chef Pastri Muzaffar Shah berkata, setiap hidangan dirangka dengan teliti bagi mengekalkan citarasa tradisi sambil memperkenalkan elemen premium.

“Setiap hidangan pada menu tahun ini disediakan dengan teliti mengekalkan rasa tradisional Krismas tetapi pada masa sama mengangkatnya dengan bahan-bahan premium serta teknik yang lebih halus.
“Dari kekayaan hidangan laut salai kehangatan ayam belanda panggang hingga ke kelembutan Salmon Wellington, setiap hidangan disediakan dengan teliti bagi menjamin kepuasan pelanggan dalam setiap suapan,” katanya.

Antara hidangan utama yang bakal menjadi tumpuan termasuk salmon diperap dengan parutan kulit sitrus dan herba daun adas bagi menghasilkan rasa segar dan halus.
Hidangan Ikan Mackerel Salai pula katanya, memberikan rasa asap dan tekstur lembut, selain Terin Salmon Salai, iaitu lapisan salmon salai berselang-seli dengan krim keju dan lemon, kedua-duanya memberikan pengalaman makan malam yang mewah.
“Pelanggan juga boleh menikmati plat daging salai gaya masakan Eropah dengan madu Bakar yang menampilkan pelbagai jenis daging salai dan disalut dengan glis madu selain stik Tomahawk yang dipanggang sehingga empuk dan berjus.
“Turut sama adalah Ayam Belanda Panggang Tradisional yang diperap dengan campuran herba wangi dan dihidangkan bersama sos istimewa, serta Salmon Wellington yang membalut filet salmon dalam pastri mentega rangup bersama cendawan herba,” katanya.

Chef Muzaffar pula berkata, rangkaian pencuci mulut direka khusus untuk menutup malam dengan sentuhan manis musim perayaan memberikan pengalaman pelanggan merasai suasana musim sejuk melalui tekstur, aroma dan persembahannya. – MalaysiaGazette
















