MELAKA – Kegembiraan seorang lelaki berjoli duit haram hasil pajak gadai barang kemas yang dicurinya kepada ‘ulat emas’ termasuk untuk menginap di hotel tidak bertahan lama apabila diberkas polis, di sebuah hotel, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 34 tahun ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Melaka di sebuah hotel bajet di Melaka Raya jam 6.30 petang, semalam.
Menurutnya, tangkapan dibuat hasil risikan selepas suspek dipercayai melarikan dua barang kemas berjumlah kira-kira RM2,000 daripada sebuah kedai emas di Taman Rambai Jaya, Tangga Batu, di sini kira-kira jam 6.50 petang Jumaat lalu.
“Siasatan mendapati, suspek sebelum itu datang ke kedai emas berkenaan pada jam 5.04 petang dan berpura-pura memilih cincin emas seberat 1.17 gram berharga RM680 serta loket emas 2.3 gram berharga RM1,300.
“Suspek bagaimanapun memberi alasan akan datang semula ke kedai untuk membayar jumlah itu, namun bertindak melarikan diri bersama cincin dan loket emas berkenaan apabila kembali semula ke premis pada jam 6.50 petang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam ini.

Menurutnya, suspek yang berjaya ditangkap kurang 48 jam kemudian hasil pemeriksaan melalui kamera litar tertutup (CCTV) premis mengakui telah menjual barang kemas itu kepada individu dipercayai ‘ulat emas’ yang ditemui melalui aplikasi Facebook.
“Polis turut merampas wang tunai keseluruhannya berjumlah RM1,050 daripada suspek yang mengaku telah menggunakan wang hasil jualan barang kemas untuk pembelanjaan harian dan sewaan bilik hotel.
“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek yang berasal dari Muar, Johor mendapati negatif dadah,” katanya.
Tambahnya, suspek direman selama empat hari sehingga 27 November ini untuk siasatan kes di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















