JOHOR BAHRU – Malaysia sebagai pengeluar bahan api penerbangan mampan (SAF) tidak mempunyai masalah dengan persepsi negatif dalam kalangan pembeli Eropah yang disebabkan isu kebimbangan aktiviti penebangan hutan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tidak timbul isu persepsi negatif itu berhubung kesesuaian minyak sawit sebagai stok suapan SAF.
Jelasnya, minyak masak terpakai (UCO) yang menjadi stok suapan utama bagi SAF, mendapat penarafan tinggi di Eropah dan diterima sebagai bahan mentah berkualiti.
“Malaysia juga mempunyai Piawaian Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang memastikan setiap metrik tan sawit dihasilkan secara lestari dan memberikan keyakinan kepada pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke loji biopenapisan SAF pertama negara, Ecoceres Renewable Fuels Sdn Bhd di Pelabuhan Tanjung Langsat di sini hari ini.
Loji EcoCeres merupakan loji biopenapisan SAF pertama di Malaysia dengan kapasiti berlesen sebanyak 350,000 metrik tan setahun dan mula mengeluarkan SAF pada bulan lalu.
Terdahulu media melaporkan terdapat kebimbangan mengenai kesesuaian minyak sawit sebagai stok suapan SAF, terutamanya disebabkan persepsi negatif pembeli Eropah berkaitan isu penebangan hutan dan kelestarian alam sekitar.
Mengulas lanjut, katanya, Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia memiliki kelebihan daripada sudut bekalan bahan mentah untuk industri SAF.
Johari berkata, inisiatif SAF itu juga sebahagian daripada strategi Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan boleh dikategorikan sebagai aktiviti perniagaan rendah karbon.
Sementara itu, Johari dalam ucapannya berkata, kementeriannya bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan untuk memperkenalkan mandat adunan SAF sebanyak satu peratus bagi penerbangan antarabangsa yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sejak Julai 2023 katanya, kementerian bersama-sama Petronas Dagangan Berhad telah menganjurkan program kesedaran untuk menggalakkan pengumpulan UCO.
“Sehingga September tahun ini, lebih 1,200 tan UCO telah dikumpulkan daripada hampir 66,000 pelanggan di 89 stesen PETRONAS terpilih di seluruh negara,” katanya.
Selain itu beliau berkata, pengeluaran SAF dalam negara merupakan langkah penting untuk memperkukuh industri biofuel dan biojisim negara.
“Usaha ini akan memperkasa kedudukan Malaysia sebagai peneraju pengeluaran SAF di rantau ASEAN, selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai sasaran rendah karbon dan membangunkan produk hiliran bernilai tinggi daripada sumber agrokomoditi,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















