KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan langkah penstrukturan semula cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa pada 1 Julai lalu merupakan pendekatan paling sesuai dan adil selepas Cukai Barangan Bernilai Tinggi (HVGT) tidak diteruskan kerana dianggap tidak selaras dengan prinsip dasar percukaian negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol, Shamsulkahar Mohd Deli (BN–Jempol) di Dewan Rakyat pagi ini, yang meminta penjelasan hala tuju kerajaan dalam meningkatkan hasil negara tanpa membebankan rakyat.
Menurutnya, kerajaan sentiasa komited memperkukuh kedudukan fiskal negara sambil memastikan kebajikan rakyat tidak terjejas, justeru setiap perubahan dasar cukai dilaksanakan secara berhati-hati dan melalui libat urus bersama pihak berkepentingan.
Beliau menjelaskan, walaupun HVGT tidak diteruskan, prinsip asasnya telah diserap dan disesuaikan melalui semakan kadar cukai jualan serta peluasan skop cukai perkhidmatan di bawah SST yang berkuat kuasa mulai 1 Julai.
“Semakan ini membolehkan barangan mewah dan barangan pilihan dikenakan cukai jualan pada kadar lima atau 10 peratus, merangkumi pakaian premium, jam tangan dan produk pilihan lain yang lazimnya dikaitkan dengan golongan berkemampuan.
“Kadar baharu ini memastikan mereka yang mampu menyumbang kepada hasil negara melakukannya secara saksama tanpa menambah beban kepada rakyat secara keseluruhan.
“Pendekatan ini juga menjadikan proses menentukan barangan bercukai lebih telus, konsisten dan tidak bergantung kepada takrifan sempit barangan mewah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN–Dungun) yang mempersoalkan mengapa LVGT dikenakan ke atas barangan harga rendah sedangkan HVGT tidak diteruskan, Hui Ying menjelaskan Cukai Barangan Nilai Rendah (LVGT) diperkenalkan khusus untuk transaksi e-dagang kerana majoriti pembelian dalam talian berada dalam lingkungan harga RM500 dan ke bawah.
Katanya, pelaksanaan LVGT bertujuan memastikan platform e-dagang turut dikenakan cukai secara adil, sekali gus mengelakkan ketirisan dan memastikan persaingan yang seimbang dengan perniagaan fizikal.
Beliau berkata, kerajaan akan terus menilai LVGT dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaannya kekal progresif. -MalaysiaGazette
















