Rahmad memberi kata-kata semangat kepada 249 pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Molek, Melaka hari ini.

MELAKA – Tiada calon dan mana-mana sekolah di Melaka yang menjadi pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terjejas banjir pada musim Monsun Timur Laut tahun ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman bagaiamanapun berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka telah bersiap sedia dengan pelan kontingensi sekiranya berlaku banjir.

“Setakat ini di Melaka memang tidak adalah sekolah yang terjejas dengan banjir dan harapannya tidaklah namun kita sudah ada pelan kontingensi sebab sekarang ini musim monsun.

“Kita akan segera lakukan pelan kecemasan jika perlu bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar,” katanya.

Rahmad (kiri) bertanya khabar calon SPM yang menduduki peperiksaan bertulis atas kerusi roda akibat kemalangan jalan raya di SMK Air Molek, Melaka, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyantuni 249 pelajar yang menduduki Hari Pertama Peperiksaan Bertulis SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Molek di sini hari ini.

Seramai 13,358 calon SPM di negeri Melaka memulakan peperiksaan bertulis hari ini membabitkan 100 pusat peperiksaan di seluruh negeri sehingga 23 Disember.

Daripada jumlah itu seramai 11,371 adalah calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan di 76 sekolah.

Seramai 694 calon sekolah pula adalah di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan Malaysia termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Henry Gurney dan Tunas Bakti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast