Dinesh Kumar Mandal didakwa atas dua pertuduhan membunuh seorang wanita dan anak angkatnya di Mahkamah Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki warga Nepal didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan membunuh seorang wanita dan anak angkatnya di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru di sini, pada Oktober lalu.

Tertuduh, Dinesh Kumar Mandal, 35, mengangguk kepala serta memberitahu ‘samajh gaya’ (faham) selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Hindi di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Akit.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa membunuh Sariya Che Hin, 51, antara jam 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam pada 18 Oktober lalu di rumah bernombor 502, Kampung Sekolah Juru di sini.

Tiada jaminan dibenarkan.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa membunuh Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, pada tarikh, masa dan lokasi sama dengan pertuduhan pertama.

Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau dipenjarakan antara 30 hingga 40 tahun, jika sabit kesalahan.

Sekiranya tidak dikenakan hukuman gantung, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli dan tiada peguam mewakili tertuduh.

Ketika prosiding, Anis Suhada tidak menawarkan jaminan selain mohon tarikh sebutan untuk laporan forensik telefon bimbit, kimia dan bedah siasat.

ARTIKEL BERKAITAN

Dua beradik Nepal antara direman, motif bunuh dua beranak bakal terungkai

Mahkamah menetapkan 26 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta mendapatkan semua laporan berkaitan.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan dendam motif pembunuhan dua beranak tersebut.

Dalam kejadian pada 18 Oktober lalu, Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemui mati dalam keadaan tragis di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah Juru di sini.

Mayat Sariya dijumpai di dapur dengan kepala hampir putus, manakala anaknya ditemui meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah separa kayu berkenaan.

Mayat mereka ditemui oleh suami mangsa sekitar jam 7.30 malam.

Susulan itu, polis menahan lapan lelaki termasuk suami wanita itu bagi membantu siasatan, namun tujuh daripada mereka dibebaskan dengan jaminan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast