KUALA LUMPUR – Universiti Malaya bakal melakar sejarah apabila meraikan seramai 11,356 graduan pada Istiadat Konvokesyen Ke-65, yang dijadual berlangsung dari 29 November hingga 10 Disember 2025.

Angka ini merupakan jumlah graduan tertinggi pernah direkodkan sepanjang 120 tahun penubuhan institusi pendidikan tersohor negara itu.

Pembukaan sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-65 pada Sabtu ini akan diisytiharkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Canselor, Universiti Malaya.

Pada Istiadat Konvokesyen kali ini, Tun engku Maimun Tuan Mat, bekas Ketua Hakim Negara dan alumni Universiti Malaya, bakal dikurniakan Ijazah Kehormat sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan beliau.

Beliau juga merupakan wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang kesepuluh Malaysia.

Selain itu, Universiti Malaya juga akan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada beberapa nama besar dalam bidang klinikal, bidang sains dan bidang bukan sains.

Antara nama-nama besar yang akan menerima gelaran tersebut dalam bidang klinikal dan bidang sains ialah Profesor Dr. Khoo Ee Ming, pakar perubatan keluarga; Profesor Dr. Phrabhakaran A/L K N Nambiar, pakar odontologi forensik & pakar radiologi mulut dan maksilofasial;  Profesor Datuk Dr. Rohana Yusof, pakar virologi dan Profesor Datuk Dr. Awg Bulgiba Awg Mahmud, pakar epidemiologi dan informatik kesihatan.

Pakar-pakar dalam bidang bukan sains yang turut akan menerima gelaran Profesor Emeritus ialah Profesor Datuk Dr. Mohd Zambri Zainuddin, pakar astronomi dan astronomi Islam dan Profesor Datuk Dr. Ahmad Hidayat Buang, pakar undang-undang Islam kontemporari bagi kontrak/transaksi.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast