SERDANG – Seramai 1,414 graduan dalam pelbagai disiplin pertanian diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-49 Sidang 2, 2025 yang berlangsung dari 29 November hingga 5 Disember 2025 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.
Sebagai universiti berteraskan pertanian, kumpulan graduan ini menjadi tunjang kepada usaha negara memperkukuh sektor agromakanan, inovasi teknologi tani dan keselamatan makanan.
Mereka merangkumi graduan bidang sains pertanian, sains dan teknologi makanan, bioteknologi, veterinar, perhutanan, perikanan, kejuruteraan dan pengurusan
berkaitan rantaian makanan, yang bakal mengisi ekosistem pertanian daripada ladang hingga ke meja makan rakyat.
Secara keseluruhan, seramai 6,373 graduan pelbagai program pengajian akan menerima ijazah dan diploma masing-masing, terdiri daripada 771 penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), 1,948 Ijazah Sarjana, 3,636 Bacelor dan 18 Diploma.
Jumlah ini termasuk 556 graduan yang telah bergraduat pada Sidang 1 Majlis Konvokesyen Ke-49 Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) pada 1 hingga 2 November lalu, menjadikan keseluruhan 6,929 graduan bagi Konvokesyen UPM Ke-49.
Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, penghasilan graduan pertanian dalam jumlah yang signifikan ini membuktikan peranan UPM sebagai peneraju pendidikan tinggi pertanian negara kekal relevan dan kritikal dalam konteks cabaran sekuriti makanan serta perubahan iklim.
“Graduan pertanian UPM bukan sahaja mahir dalam teknologi dan sains tani, tetapi juga dididik dengan nilai keusahawanan, kepimpinan dan empati komuniti. Mereka inilah yang akan mengetuai transformasi sistem makanan negara, daripada meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil, sehinggalah kepada mengurangkan pembaziran dan memastikan akses makanan yang berkhasiat untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan graduan tahun ini turut disokong oleh jaringan kerjasama kukuh dengan industri agromakanan dan rakan strategik. Antaranya, Pingat Emas Doktor Falsafah Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals yang dianugerahkan kepada Dr. Tan Hui Ya (PhD Bioteknologi Makanan) serta Hadiah Sekuriti Makanan Farm Fresh yang diterima oleh Nur Aqilah Mohamad Arif, graduan Bacelor Sains dan Teknologi Makanan dengan Kepujian, mencerminkan sinergi UPM-industri dalam penyelidikan dan inovasi berkaitan makanan selamat, berkualiti dan mampan.
UPM juga meraikan kelahiran graduan sulung program baharu yang menyokong agenda sekuriti makanan dan pembangunan komuniti, antaranya lima graduan sulung Program Master Reka Bentuk Makanan Fungsian dan lapan graduan sulung Program Master Pembangunan Komuniti. Program ini dirangka bagi melahirkan profesional yang mampu mereka bentuk produk makanan berfungsi bernilai tambah serta memacu pembangunan komuniti luar bandar dan pinggir bandar secara lebih inklusif.
Di peringkat pengantarabangsaan, UPM meneruskan komitmen dalam penawaran Program Kolaborasi Antarabangsa (International Collaborative Programme, ICP) apabila melahirkan tiga graduan Doktor Falsafah di bawah Program Ijazah Bersama dengan University of Newcastle, Australia dan seorang graduan Doktor Falsafah Program Ijazah Bersama Cotutelle dengan University of Paris 1 Pantheon-Sorbonne, Perancis.
Sementara itu, Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan pengurniaan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Pengembangan kepada Dato’ Haji Dr. Mohd Fadzilah Kamsah serta pengurniaan gelaran Profesor Emeritus kepada Academician Datin Paduka Dr. Khatijah Mohamad Yusoff pada
sesi pertama konvokesyen. Pengiktirafan ini menyerlahkan komitmen UPM terhadap kesinambungan ilmu, penyelidikan dan pendidikan pengembangan yang dekat dengan
masyarakat dan sektor pertanian.
Majlis Konvokesyen UPM Ke-49 Sidang 2 disempurnakan dalam tujuh sesi oleh Tuanku Canselor dan dua Pro Canselor UPM iaitu Prof. Emeritus Datuk Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie dan Tan Sri Peter Chin Fah Kui, yang bersama-sama meraikan kejayaan graduan serta ibu bapa mereka.
Menurut Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan, UPM akan terus memperkukuh ekosistem pembelajaran berimpak tinggi yang berpaksikan penyelidikan, inovasi dan pemerkasaan masyarakat, selaras dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025, khususnya Matlamat 1: Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang.
“Cabaran sekuriti makanan, perubahan iklim dan kesihatan planet bukan lagi isu masa depan, tetapi realiti hari ini. Kita yakin graduan pertanian UPM yang diraikan hari ini bersedia menjadi peneraju solusi, sama ada sebagai penyelidik, pembuat dasar, usahawan tani mahupun pemimpin komuniti,” ujar beliau.
Dengan pelbagai pencapaian akademik, pengiktirafan industri serta jaringan global yang kukuh, 1,414 graduan pertanian UPM yang bergraduat pada Konvokesyen ke-49 ini diyakini bakal mengisi barisan hadapan agenda sekuriti makanan dan kelestarian negara. – MalaysiaGazette
















