KUANTAN – Yayasan Pahang (YP) mencatat kejayaan cemerlang apabila menerima empat pengiktirafan utama di Top Employer Awards 2025 anjuran Jobstore di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menerusi kenyataan, anugerah yang berjaya dirangkul ialah kategori CEO Terbaik Tahunan (Perkhidmatan Awam), Majikan Pilihan Graduan Terbaik, Anugerah Tempat Kerja Terbaik (Perkhidmatan Awam) dan Anugerah Majikan Terbaik.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi menerima anugerah tersebut dan menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja YP atas dedikasi serta komitmen warga kerjanya.
“Pengiktirafan ini adalah cerminan usaha berterusan warga Yayasan Pahang untuk memastikan ekosistem kerja yang profesional, inklusif dan berorientasikan prestasi.
”Kami menerapkan prinsip 3C iaitu, character, commitment dan competency dalam setia kakitangan Yayasan Pahang. Kami akan terus memperkukuh pembangunan bakat, kesejahteraan pekerja serta inovasi organisasi demi manfaat rakyat Pahang,” katanya.
Penganugerahan diberikan berdasarkan pencapaian YP dalam memacu pengurusan sumber manusia yang berkesan serta pelaksanaan inisiatif latihan dan pembangunan.
Selain itu, budaya kerja berintegriti melalui pelaksanaan ISO 37001 Anti-Bribery Management System (ABMS), dan komitmen organisasi mewujudkan persekitaran kerja yang progresif dan mesra belia antara amalan di YP.
Kemenangan Top Employer of Graduate Choice itu turut membuktikan Yayasan Pahang menjadi pilihan utama graduan untuk memulakan kerjaya dalam sektor perkhidmatan awam dan pembangunan sosial.
Kejayaan itu selari dengan aspirasi YP untuk terus ’Memartabatkan Masyarakat’ dan memperkukuh kedudukan sebagai organisasi negeri yang berimpak tinggi dalam pembangunan pendidikan, belia dan modal insan di Pahang. – MalaysiaGazette
















