KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelantikan Mohamad Hafiz Kassim sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) yang baharu, dan Ahmad Rizal Omar sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO).

Kedua-dua pelantikan ini berkuat kuasa mulai 1 Disember 2025.

Mohamad Hafiz menggantikan Rohaya Mohammad Yusof, yang telah menerajui Bahagian Pelaburan selama lebih lima tahun.

Mohamad Hafiz telah berkhidmat di KWSP sejak 2008, memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan merentasi portfolio Ekuiti Persendirian, Pasaran Persendirian, Pasaran Modal dan Hartanah.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kwasa Land Sdn Bhd dari tahun 2020 hingga 2021.

Dengan lebih 25 tahun pengalaman merangkumi bidang perakaunan, ekuiti persendirian dan pendapatan tetap, Mohamad Hafiz memiliki Ijazah Sarjana Muda (Ekonomi) dalam Perakaunan dan Kewangan dari London School of Economics and Political Science; merupakan Felo Association of Chartered Certified Accountants (ACCA); Pemegang Piagam Chartered Financial Analyst (CFA charterholder); dan telah mengikuti Advanced Management Programme di Harvard Business School.

Pengalaman luas beliau merentasi Bahagian Kewangan dan Pelaburan, digabungkan dengan pengetahuan institusi yang mendalam, menjadikan beliau calon yang tepat untuk menerajui strategi pelaburan KWSP ke hadapan.

Ahmad Rizal Omar

Ahmad Rizal, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Kewangan, menggantikan Mohamad Hafiz sebagai CFO.

Beliau merupakan seorang akauntan bertauliah dengan pengalaman lebih daripada 20 tahun.

Ahmad Rizal memiliki Ijazah Sarjana Kewangan dari University of Cambridge dan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Perakaunan) dari Royal Melbourne Institute of Technology.

Beliau membawa kepakaran dalam penilaian pelaburan, kewangan korporat dan pengurusan kewangan.

Sebelum menyertai KWSP, beliau berkhidmat sebagai CFO di PLUS Malaysia Bhd serta memegang jawatan-jawatan kanan di Istanbul Sabiha Gökçen International Airport, Malaysia Airports Holdings Bhd, Khazanah Nasional Bhd dan Axiata Group Bhd. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast