KOTA TINGGI – Desaru Coast dengan kerjasama Boxxtomoi Asia menganjurkan Coastal Combat 2026 pada 23 hingga 24 Januari ini sekali gus akan menghangatkan lagi kempen Tahun Melawat Johor 2026.
Acara sukan seni muaythai antarabangsa itu merupakan inisiatif pelancongan sukan baharu yang bakal mengukuh lagi kedudukan Desaru Coast sebagai destinasi pelbagai sukan dan acara bertaraf serantau.
Desaru Coast dalam satu kenyataan memberitahu, program berkenaan akan menggabungkan aksi sukan Muaythai sambil menikmati keindahan resort persisir pantai di sini.
“Terdapat tontonan perdana eksklusif bagi siri Coastal Combat Desaru Coast 2026 yang terdiri daripada empat episod, sebuah program realiti sukan dinamik yang dirakam di beberapa resort paling indah di Desaru Coast. Siri ini merakam sesi latihan, keperibadian atlet serta keunikan destinasi sebagai hab sukan pesisir pantai.
“Para hadirin turut menyaksikan sesi pengenalan atlet, cabaran sukan pantai dan pelbagai aktiviti paparan destinasi yang direka bagi menyerlahkan kepelbagaian Desaru Coast sebagai venue ikonik untuk pengalaman sukan dan pelancongan.
“Aktiviti ini mencerminkan komitmen destinasi untuk memperkasa sukan pesisir pantai sebagai sebahagian daripada penawaran pelancongan sukan yang semakin berkembang,” menurut kenyataan tersebut.
Jelas kenyataan itu, sebagai acara sukan pertama dalam kemuncak Tahun Melawat Johor 2026, Coastal Combat berjaya menarik perhatian tempatan dan antarabangsa, menampilkan pertarungan profesional Muaythai yang meraikan kemahiran pertahanan dan semangat kesukanan.
“Di luar gelanggang, acara ini menampilkan peranan Desaru Coast sebagai tuan rumah utama Malaysia untuk arena multi-sport dan MICE (Meetings, Incentives, Conference and Exhibitions) disokong oleh resort bertaraf dunia dan infrastruktur destinasi yang lengkap.
“Daripada acara perlumbaan sehingga kejohanan golf, festival sukan air dan kini sukan tempur. Desaru Coast terus berkembang sebagai pentas serba boleh bagi acara bertaraf global di mana persaingan bertemu kolaborasi serta gabungan sukan dan pesisir pantai yang indah,” jelas kenyataan itu lagi.
Desaru Coast menganggap Coastal Combat 2026 merupakan acara sukan antarabangsa, program korporat dan pengalaman destinasi dengan semuanya dalam satu lokasi, direka sebagai festival hujung minggu yang mesra keluarga.
“Acara ini turut menawarkan aktiviti dan hiburan sesuai untuk pelbagai peringkat umur sekali gus menjadikan Desaru Coast sebagai lokasi pilihan MICE dan acara festival yang mempunyai tarikan menyeluruh.”
Kenyataan itu memaklumkan, terdapat barisan atlet dari lima buah negara bagi acara utama Coastal Combat 2026 dan akan disiarkan secara dalam talian dengan jangkaan capaian sehingga 300,000 penonton dalam Youtube.
Acara itu akan terus mempromosikan Desaru Coast dan Johor sebagai destinasi utama pelancongan sukan serantau dan inisiatif itu selaras dengan hala tuju Tahun Melawat Johor 2026 yang menjadikan negeri ini sebagai pemacu utama pelancongan sukan dan acara antarabangsa.
Jelas Desaru Coast, ia termasuk memperkukuhkan reputasi Desaru Coast sebagai hab dinamik untuk sukan, gaya hidup dan perniagaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Desaru Coast, Izrin Hashim berkata, sempena Tahun Melawat Johor 2026, Coastal Combat menandakan hala tuju baharu yang lebih berani bagi Desaru Coast.
“Kami telah membuktikan keupayaan kami melalui acara global seperti L’Etape by Tour de France selama dua tahun dan Desaru Coast Multisport Festival by Iron Man yang terus menarik penyertaan dari Eropah, Timur Tengah dan seluruh ASEAN.
“Kini, kami memperluaskan momentum itu ke arena sukan tempur. Dengan lokasi bersepadu dan infrastruktur hospitaliti yang kukuh, Desaru Coast bersedia menjadi pentas penting di rantau ini untuk acara antarabangsa multi-sport dan MICE,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Muaythai Malaysia, Datuk Shahnaz Azmi berkata, Coastal Combat merupakan langkah penting bagi perkembangan Muaythai di Malaysia.
Katanya, sebagai badan pentadbir kebangsaan, Persatuan Muaythai Malaysia menyokong usaha-usaha yang mengangkat martabat atlet tempatan, membina laluan bakat yang lebih kukuh serta membantu memajukan Muaythai Malaysia di pentas antarabangsa.
“Apa yang dibangunkan oleh Boxxtomoi Asia bukan sekadar satu lagi acara. Ia merupakan platform yang diselia dan distrukturkan dengan baik, berpaksikan masa depan dan sejajar dengan komitmen kami terhadap integriti, kebajikan atlet dan pembangunan jangka panjang.
“Kerjasama ini menandakan bab baharu buat Muaythai Malaysia, di mana sukan, profesionalisme dan semangat kebangsaan bergerak maju bersama,” ujarnya.
Pengarah Acara Boxxtomoi Asia, Nor Afandi Nor Hosni pula menyifatkan Coastal Combat 2026 lebih daripada sekadar acara pertarungan.
Jelasnya, itu merupakan program yang diluluskan secara rasmi di bawah Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) dan sokongan itu penting kerana menetapkan standard baharu tentang bagaimana Muaythai harus dipersembahkan, ditadbir dan ditinggikan martabatnya.
“Kerjasama kami dengan PMM dan Persatuan Muaythai Negeri Johor memastikan setiap aspek, daripada keselamatan atlet hinggalah integriti pertandingan, memenuhi keperluan tertinggi taraf kebangsaan.
“Kami membawa Muaythai ke era baharu. Format rancangan realiti ini menggabungkan sukan, penceritaan dan pelancongan destinasi dengan cara yang belum pernah dihasilkan oleh Malaysia sebelum ini,” katanya.
Tambahnya, penonton bukan sahaja akan melihat petarung bersaing, mereka juga akan mengikuti perjalanan dan disiplin mereka selain pengalaman budaya di pantai Desaru.
“Inilah evolusi Muaythai, sebuah produk hiburan dengan nilai sukan sebenar dan impak ekonomi sebenar untuk Johor. Kami menetapkan penanda aras untuk pelancongan sukan dan kami berhasrat untuk memajukan industri ini,” katanya.- MalaysiaGazette















