SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan diadakan pada 28 Ogos hingga 6 September bakal disertai oleh 2,000 pempamer dengan nilai pemeteraian memorandum persefahaman dan memorandum perjanjian sebanyak RM8 bilion dan transaksi jualan mencecah RM58 juta.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penyertaan ini melibatkan pempamer dari luar negara yang bakal diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) itu.
Seramai 4 juta mengunjung disasarkan untuk MAHA 2026.
Sepanjang penganjuran itu, pengunjung MAHA 2026 boleh menikmati pelbagai tarikan termasuk pameran bunga, pameran agrotek, fiesta makanan, pertandingan agro, persembahan laser, persembahan air, sukan rakyat, rewang warisan, Rhythm of the Farmers (ROTF), sesi santai kopi, agropreneur muda, kiddies wonderland, agro safari, taman burung dan banyak lagi.

“Keseluruhan pengalaman ini bukan sahaja memberi pengetahuan dan pendedahan baharu kepada para pengunjung namun turut menyemarakkan minat serta membina kesedaran masyarakat, khususnya golongan muda untuk menceburi bidang pertanian,” katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis pra pelancaran.
Majlis ini menjadi platform untuk membina kesedaran awal, menggalakkan penyertaan dan memperkukuh komitmen rakan strategik, agensi kerajaan, pemain industri serta media ke arah penganjuran MAHA 2026 yang lebih berimpak tinggi dan berdaya saing.
Menurut beliau, MAHA 2026 bakal mengangkat tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’ yang menampilkan visi Malaysia untuk membangunkan ekosistem agromakanan yang berdaya tahan, berasaskan teknologi dan berimpak tinggi.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, pameran tersebut memfokuskan penciptaan hasil tanaman yang berpotensi meningkatkan nilai.
“Kita hendak tunjukkan usaha-usaha yang mana kita mencipta nilai, jadi rakyat boleh melihat pekerjaan-pekerjaan pertanian bukannya satu pekerjaan yang orang kata pilihan terakhir.
“Tetapi ia satu pekerjaan yang boleh memberi pendapatan yang lebih baik bukan saja tanaman-tanaman asas tani tetapi juga boleh mencipta nilai,” tambah beliau.
Pengunjung MAHA 2026 boleh menikmati pelbagai tarikan termasuk pameran bunga, pameran agrotek, fiesta makanan, pertandingan agro, persembahan laser, persembahan air, sukan rakyat, rewang warisan, Rhythm of the Farmers (ROTF), sesi
Katanya, penyertaan dalam MAHA 2026 bukan sahaja membolehkan perniagaan memperkukuh jaringan pelanggan sedia ada dan membina hubungan antarabangsa yang strategik, malah memberi peluang menjadi antara yang terawal mengetahui jenama pasaran terkini serta meningkatkan daya saing dalam industri agro.
Mohamad berkata, MAHA 2026 turut membuka peluang untuk memperkenalkan teknologi pertanian terkini, produk serta perkhidmatan agromakanan kepada pasaran yang lebih luas dan bakal menjadi platform unggul untuk mengembangkan perniagaan dalam sektor pertanian dan agroindustri.
Melalui MAHA 2026, usahawan dan pelabur berpeluang meneroka dagangan, pelaburan, kolaborasi dan perkongsian teknologi, membangunkan pasaran import serta eksport, serta melancarkan produk dan perkhidmatan inovatif sekali gus membuka ruang bagi pertumbuhan kerjaya dan keusahawanan dalam sektor agro. – MalaysiaGazette
















