Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar. Foto Hari Anggara, 22 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia mengecam tindakan membawa usul penggantungan terhadap Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang disifatkan sebagai langkah politik sempit serta menjejaskan integriti Parlimen.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Nadzir Helmi berkata Takiyuddin hanya menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Rakyat apabila meminta penjelasan mengenai ‘SOP’ latihan Maritim Malaysia di Masjid Rusila, terutama setelah Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal memberikan penjelasan jelas dan mendakwa isu itu telah diselesaikan.

“Tindakan membawa usul penggantungan ini amat pelik dan bercanggah dengan sikap Senator Menteri sendiri pada 30 Oktober 2025, apabila beliau meminta semua Ahli Parlimen ‘move on’ jika berlaku apa-apa kekhilafan dalam isu tersebut.

“Jika benar semuanya sudah selesai, mengapa kini beliau menghidupkannya semula dengan tindakan yang begitu drastik?” soal Nadzir.

Dewan Rakyat hari ini menangguhkan usul untuk menggantung Takiyuddin selama enam bulan ekoran kenyataannya yang mengaitkan latihan Maritim Malaysia di Masjid Rusila dengan peristiwa Memali.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan perkara itu ketika menggulung perbahasan.

Menurut Pemuda Pas, usul tersebut dibawa tanpa melalui proses sewajarnya kerana tidak dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, sekali gus mencabul prinsip keadilan proses dan menimbulkan persepsi ia bermotif menghukum.

“Apakah kesalahan berat yang dilakukan oleh YB Kota Bharu sehingga wajar dijatuhkan hukuman sebegitu melampau?” tegas Nadzir.

Beliau berkata, Takiyuddin hanya bertanya soalan dan tidak pernah membuat tuduhan atau memfitnah mana-mana pihak, justeru tindakan menggantung kerana bertanya menimbulkan persoalan sama ada ia satu cubaan menyekat kebebasan bersuara Ahli Parlimen.

Nadzir turut mempersoalkan tindakan seorang Senator yang juga Menteri membawa usul menghukum seorang Ahli Dewan Rakyat yang dipilih rakyat.

“Walaupun ia mungkin sah dari sudut teknikal undang-undang, namun ia jelas melangkaui semangat dan adat urusan Dewan Rakyat serta mencerminkan kecenderungan mencampuri autonomi Parlimen,” katanya.

Berikutan itu, Pemuda Pas menggesa supaya dihentikan segera sebarang usaha memperalatkan Parlimen untuk tujuan politik sempit, sambil menegaskan institusi itu mesti kekal bebas dan menjunjung prinsip demokrasi.

Terdahulu, perbahasan mengenai usul itu berlangsung dalam keadaan tegang apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang mencelah berulang kali sehingga memaksa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberi amaran.

Beliau turut memaklumkan akan menyusuli keputusan hari ini bagi menentukan sama ada sesi pengundian perlu diadakan nanti.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) yang disiarkan di laman web Parlimen, Takiyuddin dicadangkan digantung selama enam bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast