KUALA LUMPUR – Seramai lapan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah mempertahankan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa menjadi punca kekalahan teruk parti itu serta Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.
Sebaliknya, mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, tanggungjawab penuh berhubung prestasi Bersatu dan PN itu terletak pada Pengerusi PN Negeri Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee, serta Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Menurutnya, Ronald dan Hamzah merupakan individu yang bertanggungjawab terhadap segala urusan persiapan, strategi dan keputusan melibatkan Bersatu dan PN pada PRN-17 Sabah.
Sehubungan itu, ujarnya, mereka perlu membentangkan dapatan post mortem kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan menjawab sebarang perkara yang dibangkitkan oleh mana-mana pihak, termasuk oleh sejumlah individu yang mengadakan sidang akhbar berkenaan perkara tersebut semalam.
“Pihak yang bertanggungjawab mengurus pilihan raya di peringkat negeri perlu menjelaskan kepada akar umbi mengenai prestasi PN dalam PRN-17 Sabah, bukan mengalihkan tanggungjawab kepada pihak lain yang tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan pilihan raya negeri,” katanya.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Bahagian Bersatu Lahad Datu, Ahmad Ali Akbar Khan Gulan; Jupri Omar (Kota Belud); Faizal Julaili (Papar); Ekbal Khalid (Kalabakan); Abidin Sahat (Ranau); Amat Yusof (Kimanis); Mazmin Mazin (Kibanatangan) dan Ramli AG Said (Sipitang).
Semalam, media melaporkan Bersatu Sabah secara terbuka mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN susulan kekalahan gabungan itu pada PRN-17 Sabah.
Desakan itu dibuat oleh Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin yang tampil bersama barisan ketua bahagian, calon-calon PN daripada Bersatu serta kepimpinan sayap parti dalam satu sidang akhbar khas.
Sementara itu, kenyataan tersebut mendakwa, barisan bekas calon dan Ketua Bahagian Bersatu semalam telah dipanggil oleh Yunus kononnya untuk memberikan laporan post mortem PRN-17 Sabah.
Bagaimanapun, katanya, sebaik sahaha tiba, mereka diminta menandatangani satu dokumen mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan, sesuatu yang langsung tidak berkaitan dengan tujuan asal pertemuan tersebut dan amat tidak beretika.
Ujarnya, tindakan Yunus yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Bersatu mengadakan sidang akhbar tanpa merujuk dan menunggu laporan lengkap post mortem, adalah satu bentuk ketidakbertanggungjawaban serta pelanggaran disiplin parti.
“Kami menggesa agar kepimpinan Bersatu dan PN Sabah memikul tanggungjawab atas prestasi pada PRN-17 Sabah dengan penuh integriti dan tidak mempolitikkannya.
“Mereka juga tidak wajar menjadikan sebarang pihak sebagai sasaran untuk menutup kelemahan sendiri,” katanya.
Keputusan PRN-17 Sabah pada Sabtu lalu menyaksikan PN mencatatkan prestasi buruk selepas hanya menang satu daripada 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
Kerusi itu dimenangi calon Pas, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan yang bertanding di DUN Karambunai, manakala calon Bersatu tewas di kesemua 30 kerusi ditandingi. – MalaysiaGazette
















