KUALA LUMPUR – Biro Perundangan DAP Melaka rasa bimbang berhubung insiden tembakan pada 24 November lepas di Durian Tunggal di negeri itu yang mengakibatkan tiga lelaki dipercayai berketurunan India mati ditembak.
Ketua Biro Perundangan DAP Melaka, Mathan Anandaram berkata, walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataan awal memaklumkan ketiga-tiga mangsa adalah ‘suspek perompak’ yang didakwa menyerang anggota polis dengan parang hingga berlaku tembakan balas namun terdapat persoalan serius mengenai keadaan sebenar kejadian.
“Kami menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Pada masa yang sama, kami mengakui tugas pihak penguat kuasa adalah sukar dan sering berdepan risiko.
“Namun, tiada sebarang dakwaan jenayah dahulu atau sekarang boleh dijadikan alasan untuk tindakan tembak mati tanpa proses undang-undang, lebih-lebih lagi ketika begitu banyak persoalan masih belum terjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mathan, mana-mana negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang mesti memastikan setiap penggunaan kekerasan maut dilakukan hanya apabila benar-benar perlu, seimbang dengan ancaman serta tertakluk kepada semakan bebas yang menyeluruh.
“Dalam kes ini, keperluan untuk siasatan bebas bukan sahaja wajar, malah wajib. Hanya semakan yang benar-benar telus dapat memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan,” tegasnya.
Mathan berkata, DAP Melaka bersedia memberi kerjasama terhadap apa-apa proses sah yang dijalankan secara telus demi mencari kebenaran dan memastikan keadilan ditegakkan.
Pada 24 November lalu, tiga lelaki dilaporkan maut selepas berlaku tembakan membabitkan anggota polis di Durian Tunggal dan PDRM mendakwa pihaknya melepaskan tembakan selepas mendakwa ketiga-tiga lelaki itu menyerang dengan parang ketika pemeriksaan dijalankan.
Namun, keluarga mangsa dan peguam mereka mendakwa terdapat percanggahan ketara dalam versi kejadian termasuk dakwaan bahawa mangsa tidak bersenjata dan terdapat bukti audio yang bertentangan dengan kenyataan awal polis.
Perkara itu mencetuskan desakan pelbagai pihak tidak kira parti politik kerajaan mahupun pembangkang agar siasatan dijalankan secara bebas dan tidak hanya bergantung kepada laporan dalaman polis. – MalaysiaGazette
















