KUANTAN – Jabatan Perhilitan Negeri Pahang mengesahkan kelibat seekor harimau belang merayau di kawasan Kampung Bantal Hulu Tembeling, Jerantut pagi ini merupakan haiwan sama yang dilihat penduduk sejak 22 November lepas.
Pengarahnya, Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya menerima aduan kelibat ‘Pak Belang’ itu di laluan kebun berhampiran kawasan penempatan penduduk.
“Hasil siasatan awal oleh kakitangan pejabat Perhilitan daerah mengesahkan kehadiran harimau berdasarkan kesan tapak terbaharu.
“Jabatan sedang berusaha menangkap harimau tersebut berikutan kekerapan penemuan kesan tapak di kawasan ladang, penempatan penduduk serta lokasi berdekatan, sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat setempat,” katanya ketika dihubungi.
Bagi memastikan keselamatan orang awam, Jabatan Perhilitan telah melaksanakan pemantauan berterusan melalui rondaan berkala serta pemasangan perangkap kamera bagi mendapatkan maklumat pergerakan dan status kesihatan harimau.
Selain itu, perangkap juga telah dipasang di lokasi strategik bagi tujuan tangkapan.
“Penduduk setempat dinasihatkan untuk sentiasa berjaga-jaga dengan mengelakkan aktiviti pada waktu malam di kawasan kebun atau laluan hutan dan menjalankan aktiviti di kebun secara berkumpulan.
“Jangan bertindak sendirian, sebaliknya segera melaporkan kepada Jabatan Perhilitan sekiranya terlihat kelibat harimau atau menemui sebarang kesan baharu,” tambahnya lagi.
Satu klip video rakaman kelibat harimau itu berdurasi kira-kira 1 minit itu tular di media sosial hari ini dikongsi seorang pekerja Felcra Hulu Tembeling yang perjalanan ke tempat kerja.
Binatang buas itu dilaporkan berkeliaran di Kampung Bantal antara jam 7 hingga 8 pagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Perhilitan pasang perangkap tangkap ‘pak belang’ di Jerantut
















