Joshua (tengah) telah mengadakan perbincangan dengan penduduk sebelum ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri sentiasa mengambil tindakan proaktif dan tidak mengabaikan suara penduduk Kampung Bagan Jermal dalam menangani isu banjir serta keretakan rumah, kata Joshua Woo Sze Zeng, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus.

Menurut beliau, pelbagai langkah telah diambil sejak awal tahun ini termasuk perbincangan dengan penduduk, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi berkaitan.

“Antara tindakan yang diambil termasuk pemantauan risiko banjir, gotong-royong membersihkan parit serta perbincangan teknikal dengan perunding projek Water Body A bagi meneliti langkah mitigasi banjir.

“Selain itu, pada 26 November lalu, peruntukan sebanyak RM100,000 telah diperoleh daripada JPS untuk naik taraf sungai di kawasan berkenaan dan ia dijadualkan dilaksanakan tahun depan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Joshua, perbadanan ketua menteri pulau pinang (CMI) sedang menjalankan kajian hidrologi untuk mengurangkan risiko banjir jangka panjang manakala kajian terperinci juga sedang dijalankan bagi menentukan punca keretakan rumah.

“Sekiranya kajian membuktikan keretakan berpunca daripada projek Water Body A, kami akan memastikan ganti rugi yang setimpal diberikan kepada penduduk yang terjejas.

“Kerajaan negeri sentiasa mendengar aduan dan rintihan penduduk serta mencari jalan penyelesaian sebaik mungkin,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Pemaju Projek Water Body A didesak selesai isu rumah retak, banjir di Kg Bagan Jermal

Media semalam melaporkan Penduduk Kampung Bagan Jermal di sini, menggesa pemaju dan kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah kesan Projek Water Body A yang mengakibatkan kerosakan rumah serta banjir berulang di kampung bersejarah itu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung, Mohamad Yakop Mohamad Dali, 73, berkata, projek bermula Februari tahun lalu itu menyebabkan gegaran kuat akibat penanaman cerucuk penahan dan tambakan laut seklai gus menimbulkan retakan pada rumah penduduk serta premis sekitar.

Beliau menekankan, penduduk telah beberapa kali membuat aduan dan perjumpaan dengan pemaju, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus serta wakil Parlimen sejak Julai, tetapi tiada tindakan konkrit diambil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast