Mohamaed Salah. Foto BBC.

LONDON – Penyerang Mohamed Salah secara terbuka meluahkan rasa marah terhadap pengurus Liverpool, Arne Slot sekali gus membayangkan kariernya di Anfield semakin di penghujung.

Bintang antarabangsa Mesir itu mendakwa dirinya menjadi ‘korban’ ketika juara Liga Perdana itu bergelut dengan prestasi buruk selepas diletakkan di bangku simpanan untuk tiga perlawanan berturut-turut dalam keputusan seri 3-3 menentang Leeds awal pagi semalam.

Selepas perlawanan di Anfield menentang Brighton hujung minggu depan, Salah akan  menyertai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dan dia memberi bayangan ia mungkin menjadi perlawanan terakhirnya bersama Liverpool sekiranya diturunkan.

“Saya sangat, sangat kecewa kerana sudah melakukan begitu banyak untuk kelab ini selama bertahun-tahun terutama musim lalu.

“Sekarang saya duduk di bangku simpanan dan saya tidak tahu kenapa. Nampaknya kelab telah mengorbankan saya. Itu apa yang saya rasa dan sangat jelas seseorang mahu saya dipersalahkan.

“Saya diberi banyak janji pada musim panas, tetapi sekarang saya berada di bangku simpanan untuk tiga perlawanan, jadi saya tidak boleh kata mereka menunaikan janji,” katanya kepada wartawan.

Salah, 33, adalah penjaring ketiga terbanyak Liverpool sepanjang zaman dengan 250 gol dalam 420 penampilan, memenangi dua kejuaraan Liga Perdana dan Liga Juara-Juara sejak tiba dari Roma pada 2017.

Namun musim ini, dia bergelut dengan prestasi dan Liverpool turut memasuki fasa sukar di mana hanya memenangi dua daripada 10 perlawanan liga terakhir dan jatuh ke tangga kelapan.

Salah hanya menjaringkan lima gol daripada 19 perlawanan walaupun kekal sebagai pemain utama sehingga kemenangan 2-0 ke atas West Ham minggu lalu.

Dia masuk sebagai pemain gantian ketika seri 1-1 menentang Sunderland pada Rabu lalu tetapi tidak memberi impak besar.

Slot mempertahankan keputusannya meletakkan Salah di bangku simpanan ketika mereka mendahului Leeds.

Sementara itu, Salah telah lama menarik minat kelab di Liga Pro Saudi dan perpindahan ke Negara Teluk itu dilihat sebagai laluan paling realistik untuk meninggalkan Anfield pada jendela perpindahan Januari.

Dia menandatangani kontrak dua tahun yang lumayan pada April lalu selepas membantu Liverpool menyamai rekod 20 kejuaraan liga England. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast