Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir menyampaikan perkongsian pengalaman sempena program resensi buku yang dikarang oleh beliau bertajuk ‘Anak Melayu di bumi kangaroo’.

KUALA NERUS — Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengoptimumkan kefungsian Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ) melalui peningkatan koleksi, pengukuhan bahan digital serta penyediaan ruang pembelajaran lebih kondusif bagi memenuhi keperluan pengguna khususnya pelajar.

Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata perpustakaan kini berperanan lebih luas sebagai pusat sumber ilmu moden selari dengan perkembangan teknologi dan kaedah pembelajaran semasa.

“Perpustakaan bukan lagi sekadar tempat menyimpan buku. Ia adalah nadi kecerdasan universiti. Peningkatan koleksi fizikal dan digital membolehkan PSNZ menjadi pusat rujukan serantau yang menyokong pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan,” katanya ketika
merasmikan Hari Terbuka PSNZ baru-baru ini.

PSNZ kini mempunyai lebih 100,000 koleksi buku fizikal selain menyediakan akses kepada lebih empat juta bahan digital merangkumi e-buku, jurnal akademik, audio buku, artikel penyelidikan dan pangkalan data ilmiah merentas pelbagai bidang.

Pelbagai aktiviti dianjurkan sepanjang hari terbuka berkenaan termasuk program derma darah, gerai jualan buku dan pameran serta pertandingan e-Sport yang mampu menarik penyertaan pelajar, kakitangan dan komuniti setempat.

Penganjuran Hari Terbuka PSNZ kali ke-9 itu turut menampilkan sesi resensi buku oleh Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir yang berkongsi pengalaman beliau sepanjang menuntut di Australia menerusi karya tulisannya ‘Anak Melayu di Bumi Kangaroo’.

Dr. Mohd Zamri berkata penganjuran pelbagai aktiviti itu mencerminkan peranan perpustakaan sebagai pusat komuniti yang inklusif dan ruang ilmu terbuka kepada
masyarakat.

“Kami mahu perpustakaan menjadi tempat untuk masyarakat meneroka ilmu, membina idea dan mencetus inovasi yang memberi manfaat kepada negara” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast