JDT diikat tanpa jaringan dalam perlawanan dengan Shanghai Port FC pada aksi ACLE di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini

ISKANDAR PUTERI – Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) diikat tanpa jaringan dalam perlawanan dengan Shanghai Port FC pada aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam ini.

Keadaan tersebut menyebabkan Harimau Selatan terlepas peluang meraih mata berharga di laman sendiri.

Bermula garang sebaik wisel permulaan, JDT tidak menunggu lama untuk menggasak pintu gol pelawat menerusi percubaan Bergson Da Silva.

Namun, percubaan menyerang kelahiran Brazil itu gagal menepati sasaran.

Pada minit ke-4, giliran seorang lagi penyerang skuad Harimau Selatan Jairo Da Silva berpeluang membuka jaringan, namun rembatannya berjaya diselamatkan penjaga gol, Chen Wei.

Selang seminit, JDT sekali lagi hampir membuka jaringan, namun percubaan Nacho Mendez hanya sipi melepasi palang gol.

Minit ke-24 pula, percubaan tonggak pertahanan, Antonio Glauder gagal menewaskan Chen Wei.

Pelawat yang sesekali mengasak nyaris mengejutkan tuan rumah apabila percubaan Melendo Oscar melintas di depan gawang sebelum keluar.

JDT hampir menjaringkan gol pada minit ke-32, namun rembatan deras Nacho Méndez berjaya ditepis keluar Chen Wei sebelum beliau sekali lagi melayangkan badan bagi menafikan percubaan Bergson seminit berselang.

Hasil satu serangan balas, penyerang The Red Eagle, Gabriel Souza berjaya melepasi kawalan benteng pertahanan skuad Harimau Selatan dengan larian pantas, namun percubaannya diselamatkan Ahmad Syihan Hazmi.

Tiada tambahan jaringan berjaya dihasilkan pada penghujung babak pertama, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan menuju bilik persalinan.

Babak kedua menyaksikanJDT meneruskan asakan-asakan berbahaya ke pintu gol lawan.

Namun, asakan-asakan tersebut gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pelawat.

Skuad Harimau Selatan itu hampir memecahkan kebuntuan pada minit ke-56, namun rembatan Bergson diselamatkan Chen Wei.

Minit ke-62 menyaksikan percubaan Jairo pulak yang terkena tiang sebelum melantun keluar.

JDT hampir membuka jaringanpada minit ke-73 namun percubaan Nacho Mendez gagal merobek gawang pelawat walaupun Chen Wei telah tertewas.

Penghujung perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan terus buntu untuk meledak jaringan dengan kedudukan kekal hingga ke wisel penamat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast