Dr' Nur'Ain menerima ijazah kedoktoran daripada Sultan Nazrin, Canselor Universiti Malaya.

KUALA LUMPUR – Status Orang Kurang Upaya (OKU) kelainan fizikal yang dimiliki sejak lahir, bukan penghalang bagi Dr. Nur’Ain Achim, yang meraikan kejayaan menggenggam Ijazah Kedoktoran (PhD) pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-65 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.

Nur’Ain, yang kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), telah mengikuti pengajian PhD di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, sejak tahun 2020 pada permulaan wabak pandemik Covid-19.

Mengimbau perjalanan pendidikannya, beliau mengakui berasa sebak dan terharu kerana akhirnya berjaya menamatkan pengajian pada peringkat tertinggi ini.

Lebih menarik, inspirasi terbesarnya datang daripada dirinya sendiri.

“Saya hendak mencapai ke peringkat yang tertinggi bukan untuk membuktikan kepada sesiapa, tetapi untuk mencabar diri saya,” katanya.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada para pelajar yang berhasrat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi: “Semangatlah, adik-adik. Tetapkan cita-cita yang tinggi dan cuba capai cita-cita tersebut demi diri sendiri”.

Iran Shah berjaya mengenggam skrol ijazah Sarjana di Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-65.

Manakala, Iran Shah, graduan dalam jurusan Sarjana Sastera di Fakulti Sastera dan Sains Sosial merupakan seorang guru Sejarah di SMK Pendidikan Khas Setapak di Kuala Lumpur.

Seorang graduan kurang upaya penglihatan, beliau memilih untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana kerana ingin menjadi seorang “role model” kepada anak muridnya selain ingin menunjukkan contoh yang terbaik sebagai seorang ayah kepada anak-anaknya.

Dengan penuh semangat dan ketulusan, beliau turut menitipkan pesanan bermakna kepada para pelajarnya: “Cikgu cuma ada satu pesanan. Apabila kita sudah menjejakkan kaki ke universiti, jangan berhenti di situ, teruslah belajar. Ilmu itu ibarat pelita yang menerangi perjalanan dan menentukan cahaya masa depan kita.

“Khususnya kepada murid kurang upaya penglihatan, ingatlah bahawa tanpa ilmu, perjalanan kita mungkin menjadi lebih sukar. Dengan ilmu, kita membina nilai diri dan membuka peluang untuk masa depan yang lebih terjamin, sehingga kita mampu berdikari tanpa bergantung kepada sesiapa.

“Walau sesukar mana perjalanan menuntut ilmu, melangkahlah sampai ke hujung. Jangan pernah putus asa. Teruskan usaha, kerana ilmu itulah yang akan membentuk masa depan kita,” tambah beliau.

Dr. Nur’Ain dan Iran Shah merupakan dua graduan daripada 11,356 graduan yang menerima ijazah pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-65, jumlah terbesar sepanjang 120 tahun penubuhan universiti ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast