Dari kiri Emwai (gitar), Awai (gitar), Zizi (vokal), Mie (bass) dan Ollie (dram).

JOHOR BAHRU – Lagenda death metal tempatan, Silent Death akan membuat persembahan sulung mereka di negeri ini menerusi persembahan gig berjudul Comeback From Forgotten di Embrace Hall, di sini, pada 20 Disember ini.

Konsert underground tersebut akan dianjurkan Bunyi Jahat Production yang turut menampilkan empat kumpulan jemputan iaitu Exothermix, Heredes, Insinner dan Mermaid is Fairytale.

Menurut pemilik Bunyi Jahat Production, Saifulizam Jamaludin, Silent Death akan membawakan antara tujuh hingga lapan lagu termasuk dua lagu daripada album Silent Kiss of Death.

“Salah sebuah lagu terbabit tidak pernah dibawa secara live dan lagu ini merupakan yang pertama kali dibawakan untuk persembahan khusus untuk Johor Bahru.

“Diharapkan persembahan ini akan mendapat sambutan yang memberangsangkan. Ini adalah siri pertama daripada siri-siri The Great Comeback bermula Januari 2026.

“Siri ini nanti akan menampilkan kumpulan-kumpulan era 90-an dan awal 2000-an. Setiap bulan akan menampilkan band dan artis yang berbeza-beza,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Saifulizam berkata, Silent Death kini tampil dengan anggota baharu iaitu Emwai (gitar), Awai (gitar), Zizi (vokal) dan Mie (bass) manakala Ollie (dram) adalah anggota lama yang pernah terlibat dalam rakaman album pertama pada 1992.

Sementara itu, Zizi berkata, persembahan lagu sudah disusun khas untuk persembahan sulung mereka di Johor dan mempunyai jangkaan yang tinggi beraksi di sini.

“Jangkaan tentunya gig ini akan jadi gempak, sebab setelah sekian lama Ollie tidak bermain di Johor Bahru.

“Kami tahu Silent Death ramai peminat setia di Johor Bahru, jadi kami harap ramai-ramai boleh turun support sebab tak tahu bila lagi Silent Death akan turun Johor Bahru,” ujarnya.

Ditanya berkenaan perancangan selepas ini, Zizi berkata, mereka akan fokus untuk menyiapkan lagu-lagu baharu untuk rakaman akan datang.

“Belum boleh janji album penuh lagi, tapi memang ke arah tu. Tengok momentum macam mana, kalau semua berjalan lancar, insyaAllah rekod nanti. Kami ada plan juga nak tour luar Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast