JDT diikat tanpa jaringan dalam perlawanan dengan Shanghai Port FC pada aksi ACLE di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.- Foto ihsan Johor Southern Tigers

ISKANDAR PUTERI – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz tetap berbangga dengan dengan aksi mantap dipamerkan anak buahnya dalam perlawanan dengan Shanghai Port FC malam tadi walaupun terikat tanpa jaringan.

Menurut jurulatih kelahiran Sepanyol itu, ini kerana skuad kedaliannya telah mempamerkan komitmen luar biasa sepanjang tempoh 90 minit dengan menguasai perlawanan selain mencipta banyak peluang berbahaya.

“Pemain mempamerkan aksi menakjubkan. Mereka tunjuk nilai sebenar JDT apabila dari minit pertama sampai minit akhir.

“Kami juga mengawal perlawanan dan mencipta banyak peluang penting. Apa pun, saya nampak perkembangan yang sangat baik,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan itu pada aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.

Beliau turut mengakui kegagalan menyempurnakan peluang di depan pintu gol lawan menjadi punca utama skuad Harimau Selatan itu gagal meraih tiga mata berharga.

“Inilah bola sepak. Kadang-kadang ia berlaku. Kami ada banyak peluang tapi tidak berjaya jaringkan gol dan ini ditambah dengan ketangkasan penjaga gol lawan,” ujarnya.

Beliau berkata, JDT perlu terus bekerja keras selepas ini terutamanya di kawasan akhir dengan lebih tenang dan klinikal.

“Bagi saya ini bukan soal tuah. Ini tentang kerja. Lawan kami juga bukan pasukan biasa, jadi bukan mudah untuk mendominasi mereka seperti yang kami lakukan,” katanya.

Sementara itu, Munoz mengakui JDT kini menumpukan perhatian kepada aksi final Piala FA, Ahad ini.

Justeru katanya, skuad kendaliannya itu perlu bersedia secukupnya dan kekal fokus bagi mengharungi aksi final tersebut.

“Kami ada final penting dalam empat hari lagi. Jadi kami perlu bersedia dan pastikan momentum prestasi ini berterusan,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast