Kasim menyempurnakan simbolik perasmian Dapur Siswa UMS.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melancarkan Dapur Siswa UMS baru-baru ini sebagai inisiatif kebajikan terbaharu yang menyediakan ruang selamat dan kondusif bagi pelajar memasak, mengurus perbelanjaan serta memastikan akses kepada makanan seimbang.

Perasmian Dapur Siswa diadakan sempena ulang tahun ke-31 UMS telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor di Dewan Serbaguna, Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM).

Dalam ucapan perasmiannya, Kasim menegaskan, kesejahteraan pelajar merupakan asas kecemerlangan akademik di UMS.

“Dapur Siswa bukan sekadar kemudahan memasak, tetapi adalah satu intervensi kebajikan untuk memastikan tiada lagi pelajar UMS yang berlapar atau berdepan
kesukaran mendapatkan makanan seimbang.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam menyediakan ekosistem pembelajaran yang inklusif, sejahtera dan berjiwa manusiawi,” katanya.

Menurut beliau, Dapur Siswa UMS ditubuhkan bagi menangani cabaran keselamatan makanan yang dihadapi sebahagian mahasiswa, khususnya mereka yang berdepan
kekangan kewangan, sejajar dengan komitmen UMS untuk memperkukuh kesejahteraan pelajar serta menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), terutamanya SDG 2: Zero Hunger dan SDG 3: Good Health and Well-being.

Kasim turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang utama serta warga kampus yang menyokong kempen “1 Staf, 1 Kampit Beras”, yang berjaya
menggerakkan solidariti kampus demi membantu mahasiswa yang memerlukan.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin memaklumkan, penubuhan Dapur Siswa UMS yang pertama itu telah
digerakkan oleh Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) dan merupakan usaha bersama pelbagai jabatan, kolej kediaman, mahasiswa serta rakan strategik industri.

“Dua Dapur Siswa telah diwujudkan sebagai permulaan di Kampus Induk, dan InsyaAllah kemudahan ini akan diperluas ke UMS Kampus Antarabangsa Labuan dan Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan.

“Usaha ini amat signifikan dalam membantu pelajar mengurus kehidupan harian dengan lebih baik serta memberi tumpuan penuh kepada pembelajaran,” ujar beliau.

Penubuhan Dapur Siswa itu mendapat sokongan padu daripada rakan strategik UMS, termasuk Sabah Electricity, KTI Development Sdn Bhd, Yayasan Buruh, Jurukin Sdn
Bhd, Courtyard Hotel 1Borneo, Yayasan Al Jauhar dan Dong Sin Food Sdn Bhd.

Kemudahan tersebut turut disokong melalui kerja ubah suai oleh Jabatan
Pembangunan & Penyelenggaraan (JPP), serta penyediaan operasi dan pemantauan oleh PNRF, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, kolej kediaman dan Majlis Perwakilan Pelajar
(MPP).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast