Zamrin Hamzah

JOHOR BAHRU – Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak sehaluan dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta agar tidak membuat huru-hara dari dalam.

Ketua Bersatu Cawangan Masai, Zamrin Hamzah berkata, pihak berkenaan tidak wajar terus membuat onar mendesak Muhyiddin meletak jawatan sedangkan pemilihan parti pun sudah selesai.

“Kemelut mereka yang buat hari-hari serang Presiden suruh letak jawatan. Lepas tu cakap Presiden gagal tangan kemelut dalaman. Toyol punya statement.

“Kalau rasa banyak duit, kaya raya buatlah parti baru. Ambillah jawatan apa pun nak dalam parti baharu tersebut. Pemilihan parti Bersatu sudah selesai.

“Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu sudah buat keputusan. Apa lagi yang dimahukan? Nak Presiden letak Jawatan? Sengaja nak buat huru-hara dari dalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau meminta Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) berhati-hati dengan perkembangan tersebut kerana ada musuh dalam selimut.

“Ada gunting dalam lipatan. Ada jari lurus kelingking berkait. Ada pepat di luar rencong di dalam. Jadi awas Bersatu dan PN,” tambah beliau.

Kelmarin, seramai 14 Ketua Bahagian Bersatu Perak menafikan mendesak supaya Muhyiddin meletak jawatan.

Mereka dilaporkan berkata, tindakan mengadakan sidang media Selasa lalu oleh sekumpulan kecil yang diketuai Ketua Bersatu Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin tidak mewakili pendirian rasmi kepimpinan Bersatu Perak.

“Semakan mendapati sidang media itu hanya dihadiri sembilan Ketua Bahagian manakala selebihnya adalah ahli biasa yang tidak memegang jawatan utama.

“Kehadiran mereka tidak boleh ditafsirkan sebagai pendirian kolektif Bersatu Perak.

“Tindakan Zainol Fadzi dan kumpulannya itu adalah percubaan yang tidak sah dan mengelirukan,” menurut kenyataan bersama-sama yang turut ditandatangani Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang merupakan Ketua Bahagian Tambun.

Kenyataan sokongan padu kepada kepimpinan Muhyiddin itu turut disokong oleh 13 jetua bahagian lain, antaranya Mohader Ahmad Ayob yang merupakan Ketua Bahagian Batu Gajah dan Iskandar Abdul Rahman (Ipoh Barat), Azhar Anuar (Bagan Datuk).

Mereka mengutuk tindakan Zainol Fadzi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kerana memilih untuk membawa isu dalaman parti ke khalayak umum.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast