KUALA LUMPUR – Arena sukan hoki negara kehilangan satu permata dengan pemergian legenda dan bekas ketua jurulatih kebangsaan, C Paramalingam yang meninggal dunia semalam pada usia 91 tahun.
Berita sedih itu dimaklumkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi hantaran di Facebook miliknya sambil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
“Mendiang Coach C Paramalingam, 91 tahun merupakan legenda hoki negara, bekas ketua jurulatih yang membawa Skuad Remaja Malaysia beraksi di Piala Dunia Remaja Barcelona pada 1993 dan telah banyak menabur khidmat bakti kepada sukan hoki di Malaysia.
“Jasa mendiang Coach C Paramalingam yang sangat mencintai sukan hoki hingga hujung usianya dan keluarga beliau akan sentiasa dikenang dan dihargai oleh KHM,” menurut kenyataan di sini.
Paramalingam pernah beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 1964 dan tiga Sukan Asia iaitu Sukan Asia Tokyo 1958, Sukan Asia 1962 di Jakarta dengan Malaysia meraih pingat gangsa serta Sukan Asia 1966 di Bangkok, Thailand.















