PONTIAN – Seorang penyelia kapal di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang juga bapa mertua kepada mangsa maut dalam runtuhan dan kebakaran kren di sini hari ini, terdengar satu letupan kuat sebelum tragedi tersebut.
Muhammad Hussin Zulkifli, 40 bapa mertua kepada Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22, berkata, bunyi tersebut sangat kuat disusuli kepulan asap kelihatan dari kawasan tragedi iaitu di Janakuasa Malakoff, Jalan Tanjung Bin, Kukup.
“Saya yang ketika itu berada di atas kapal di PTP sekitar pukul 12.30 tengah hari sempat rakam insiden itu dan hantar kepada ahli keluarga kerana menantu saya bekerja di sana,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian di sini petang tadi.
Dalam kejadian itu, menantunya dan rakan sekerjanya maut tertimbus manakala tiga cedera parah dengan dua daripadanya kritikal kini mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Selain Muhammad Amaluddin beralamat di Gelang Patah yang maut, seorang lagi mangsa yang terkorban Muhammad Alfarid Ahmad, berusia 19 tahun beralamat di Tanah Merah, Kelantan.
Bercerita lanjut, Muhammad Hussin berkata, dia masih lagi terkejut dengan kejadian berkenaan memandangkan kedudukan PTP dan Tanjung Bin bertentangan di Sungai Pulai.
Jelasnya, sebaik menerima panggilan sekitar pukul 2 petang memaklumkan menantunya antara mangsa insiden tersebut, dia dan isteri terus bergerak ke Hospital Pontian.
“Kali terakhir kami jumpa arwah pada minggu lepas. Masa itu arwah dan isteri, Syahzanani Aizzati, 22 bersama-sama anaknya berusia tiga tahun melawat kami di Taman Nusa Perintis, Gelang Patah.
“Tak nampak sebarang perubahan pada arwah. Dia memang seorang yang pendiam. Anak saya, Syahzanani beritahu arwah suaminya hendak makan masakan air tangannya setiap hari,” katanya.
Muhammad Hussin berkata, jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gelang Patah.
Sementara itu, Muhammad Faris iaitu abang kepada Muhammad Alfarid, tidak menyangka perbualan menerusi WhatApps malam tadi merupakan kali terakhir.
“Kali terakhir kami berhubung malam semalam, saya tidak sangka itu kali terakhir kami berhubung.
“Ketika berbual arwah tidak menunjukkan perubahan. Kami berbual seperti biasa. Kali terakhir kami berjumpa awal bulan lalu,” katanya.
Muhammad Faris memberitahu jenazah adiknya akan dibawa pulang ke Tanah Merah sejurus selesai proses bedah siasat di Hospital Pontian.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Dua pekerja maut, kren arang batu runtuh, terbakar di Tanjung Bin
















