KUALA LUMPUR – Seramai 19 pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikenakan tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan.
Unit Komunikasi Korporat AKPS KLIA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kesemua mereka didapati bersalah oleh Lembaga Tatatertib (LTT) yang bersidang pada 12 Disember lalu.
Menurutnya, antara kesalahan itu termasuk tidak hadir bertugas dan melanggar prosedur kerja berkaitan cap keselamatan masuk serta keluar negara.
“Kesemua mereka dikenakan tindakan tatatertib meliputi amaran, tangguh pergerakan gaji serta penurunan gaji, selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa,” katanya.
Selain itu, tambah kenyataan tersebut, sebanyak 43 kes siasatan tatatertib melibatkan integriti pegawai AKPS KLIA telah dibuka untuk siasatan melibatkan pelbagai kesalahan berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), prosedur dan peraturan kerja.
Katanya, ia khususnya melibatkan penggunaan cap keselamatan masuk dan keluar negara, kawalan pemeriksaan kaunter serta kesalahan berkaitan amalan `flying passport’ dan `counter setting’ yang menjejaskan integriti kawalan sempadan negara.
“AKPS KLIA menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku atau pelanggaran integriti, terutamanya dalam aspek kawalan masuk dan keluar negara yang merupakan elemen kritikal keselamatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















