Rexy Mainaky

KUALA LUMPUR – Kem badminton negara masih memerlukan sentuhan Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky di sebalik kegagalan mencapai sasaran pingat emas pada temasya Sukan SEA Thailand.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, prestasi di Sukan SEA itu bukan kegagalan individu, sebaliknya tanggungjawab bersama oleh pemain, kejurulatihan, pengurusan dan kepimpinan.

Menurut beliau, walaupun sasaran emas tidak dicapai, skuad badminton negara menunjukkan kemajuan positif dengan meraih sembilan pingat, melepasi sasaran awal tujuh pingat.

Lebih bermakna, ujarnya, kem badminton negara turut meraih pingat perseorangan wanita iaitu pencapaian pertama sejak enam tahun lalu, sekali gus membuktikan pembangunan bakat berada pada trajektori yang betul.

“Saya menghargai keterbukaan Rexy, dan pendirian saya jelas: kita masih memerlukan beliau.

“Sukan SEA 2025 bukan pentas yang mudah buat kita. Kita akui kelemahan dan terima hakikat bahawa tidak semua sasaran tercapai.

“Dalam sukan, keputusan di gelanggang tidak boleh disorok — ia menuntut kejujuran, keberanian dan tanggungjawab bersama.

“Kita menang sebagai satu pasukan; apabila tewas, kita juga bertanggungjawab bersama,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

SKUAD badminton negara pada Sukan SEA Thailand. – Foto: FB Tengku Zafrul

Semalam, Rexy menyatakan kesediaan memikul tanggungjawab penuh termasuk meletakkan jawatan susulan kegagalan skuad badminton negara khususnya dalam acara beregu di Sukan SEA Thailand.

Ia selepas skuad badminton negara hanya meraih satu pingat emas menerusi kemenangan beregu wanita, Pearly Tan dan M. Thinaah berbanding sasaran empat pingat emas.

Sementara itu, beregu lelaki utama negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turut disandarkan mampu menghadiahkan emas terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala beregu campuran negara yang juga juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sekadar meraih gangsa.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pengalaman dan falsafah pembangunan tidak boleh diukur dengan satu kejohanan, sebaliknya pembinaan skuad kebangsaan merupakan proses jangka panjang.

Tambahnya, satu kegagalan tidak menafikan kejayaan besar kem badminton tahun ini, yang mana pemain negara muncul juara dunia beregu campuran, dan buat pertama kali beregu wanita mara ke final Kejohanan Dunia iaitu pencapaian yang mengangkat martabat pemain negara.

Ujar beliau, Sukan SEA Thailand memberi pengajaran berharga dan kem badminton negara akan belajar, memperbaiki kelemahan dan bangkit lebih matang.

“Ini bukan noktah tetapi batu loncatan.

“Sebagai Presiden BAM, komitmen saya kekal: membina badminton Malaysia atas asas kukuh dan kejayaan jangka panjang. Perjalanan ini belum selesai. Kita akan terus melangkah — bersama,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast