Foto: FB Danial Al Rashid

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid menyifatkan kenyataan yang melabelkan komuniti RXZ Members sebagai ‘gangguan ketenteraman dan keselamatan awam’ sebagai sangat memalukan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, kenyataan sedemikian juga bersifat stereotaip dan jelas menunjukkan kegagalan memahami minat serta budaya anak muda hari ini.

Menurutnya, tidak semua peminat motosikal klasik RXZ adalah samseng jalanan atau pembuat onar.

Sebaliknya, tambah beliau, ramai dalam kalangan mereka ialah pekerja, usahawan, mekanik, malah anak muda yang menjadikan RXZ sebagai identiti, hobi dan seni warisan automotif tempatan.

“Saya ingin menjemput RXZ Members dari seluruh negara untuk datang ke Shah Alam.

“Di sini, kita meraikan minat anak muda, bukan dengan prejudis dan tuduhan melulu.

“Apa yang penting ialah penguatkuasaan berhemah, dialog terbuka, dan pendekatan mendidik – bukannya menghasut kebencian terhadap satu komuniti hanya kerana minat mereka berbeza,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan DAP Melaka berhubung program RXZ Members Ride 3.0 yang diadakan di negeri itu yang didakwa memberi kesan serius terhadap rutin harian penduduk, ketenteraman awam serta keselamatan jalan raya.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima daripada rakyat Melaka, berlaku aktiviti menunggang motosikal pada kelajuan tinggi dan pencemaran bunyi, terutama pada lewat malam sehingga menimbulkan gangguan.

Sementara itu, Danial Al-Rashid berkata, sekiranya terdapat sebarang isu melibatkan perlumbaan haram atau pelanggaran undang-undang pada program tersebut, tindakan sepatutnya diambil terhadap individu, bukan menghukum keseluruhan komuniti.

“Itulah asas keadilan. Anak muda bukan masalah. Sikap jumud dan prejudis itulah masalah sebenar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast