BANGI – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menzahirkan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk terus menerajui Kementerian Pendidikan (KPM).
Beliau berkata, kepercayaan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif pendidikan dilaksanakan memberi impak menyeluruh kepada ekosistem pendidikan negara.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas kepercayaan bersama Timbalan Menteri untuk terus memimpin KPM.
“Insya-Allah, kami akan berusaha melakukan yang lebih baik dan pastinya yang terbaik bagi pendidikan dan anak-anak kita,” katanya pada pemberita selepas Majli Malam Jalinan KPM- Media di sin, malam tadi.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina menegaskan peranan media amat penting sebagai cerminan di lapangan dalam menghubungkan dasar yang digubal di peringkat kementerian dengan realtiti pelaksanaannya di sekolah dan komuniti, termasuk di kawasan pedalaman dan pulau.
Tambah beliau, kritikan media yang berfakta dan membina bukan satu ancaman, sebaliknya sebahagian daripada proses membuat keputusan dalam sebuah demokrasi yang sihat.
“Kritikan yang jujur dan berasaskan fakta adalah suara rakyat. Ia perlu diterima dengan hati terbuka kerana daripada situlah penambahbaikan boleh dilakukan. Mana-mana pemimpin perlu berdepan perkara ini dengan matang dan berani memberi jawapan,” ujarnya.

Beliau juga menekankan reformasi pendidikan yang dilaksanakan KPM adalah berpaksikan prinsip keadilan, merangkumi akses pendidikan di bandar dan pedalaman, kebajikan murid dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan serta sokongan berterusan kepada guru yang memikul amanah besar dalam membentuk masa depan generasi muda.
Fadhlina juga menambah, sepanjang tempoh tiga tahun lalu, KPM bukan sahaja menumpukan kepada usaha memulihkan sistem pendidikan negara, sebaliknya membina semula kepercayaan murid, ibu bapa dan masyarakat terhadap institusi pendidikan negara.
“Pelaksanaan dasar pendidikan adalah termasuk inisiatif berkaitan wajib persekolahan, memerlukan kerjasama erat antara kementerian, sekolah, ibu bapa, komuniti serta media supaya dasar yang dirangka benar-benar memberi kesan kepada rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Rombakan Kabinet: 10 lantikan baharu, 14 menteri, timbalan menteri bertukar portfolio
















