Pengarah SPRM Perak, Dato' Ahmad Sabri Mohamed (duduk kanan sekali) bersama Timbalan Mufti Perak, Dato' Zamri Hashim (tengah) bergambar bersama peserta yang menerima sijil di Kompleks Islam Negeri Perak di sini, semalam.

KUALA LUMPUR – Seramai 14 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menerima pentauliahan khas profesional iaitu kebenaran menyampaikan kuliah profesional di masjid dan surau oleh Jabatan Mufti Negeri Perak.

Program pentauliahan itu dikenali sebagai Perakuan Profesional Masjid (PPM) diberikan selepas pegawai terbabit berjaya melepasi proses saringan dan penilaian oleh Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Negeri Perak.

Majlis itu telah diadakan dalam program Muqabalah Mahabbah dan Majlis Penyampaian Sijil Kebenaran Menyampaikan Kuliah Profesional Negeri Perak Siri 2 Tahun 2025 yang disempurnakan  Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim di Kompleks Islam Negeri Perak, semalam.

Pada majlis itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed mendahului senarai penerima pentauliahan diikuti oleh Timbalan Pengarah Operasi dan Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Perak serta pegawai-pegawai kanan SPRM Perak lain.

Selain pegawai SPRM, turut menerima sijil pentauliahan dalam majlis itu ialah 60 pegawai dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tabung Haji, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Perak, As Salihin Trustee Cawangan Perak, Mutawwif, Motivasi dan Dakwah dan ahli Bahasa Arab.

Program itu memberikan pengiktirafan kepada golongan profesional dan penjawat awam menyampaikan kuliah dalam bidang profesional masing-masing sekaligus membantu jemaah masjid memperoleh kefahaman praktikal.

Ia berkaitan isu kehidupan sejajar dengan nilai Islam serta meningkatkan kesedaran awal terhadap isu kesihatan, keluarga, harta dan sosial dengan bidang profesional.

Prinsip asas sijil pentaulihan khas professional adalah masjid sebagai ruang amanah, bukan pentas mempromosi diri atau perniagaan, bagi menerang dan mendidik bukan memberikan hukum syarak serta  kandungan mestilah bersifat umum, mencegah dan mendidik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast