KUALA LUMPUR – Lebih 11 juta imej arkib telah didigitalkan oleh Arkib Negara Malaysia (ANM) sehingga November tahun ini memastikan warisan negara terus terpelihara dan dapat diakses oleh generasi kini dan akan datang.
Ketua Pengarah ANM, Zaidin Mohd. Noor berkata, projek pendigitalan yang bermula seawal tahun 1997 ini melibatkan pelbagai bahan arkib seperti fail, bahan audiovisual dan objek bernilai kekal bagi tujuan pemeliharaan,
rujukan serta kelestarian warisan negara.
“Bagi bahan audiovisual, Arkib Negara memiliki koleksi yang luas merangkumi rakaman peristiwa, sejarah lisan, pengkisahan sejarah, wawancara, konvensyen, bengkel dan seminar dalam pelbagai format seperti gambar foto, kaset, VHS, piring hitam, CD, DVD dan betacam,” katanya.
Beliau berkata, usaha pendigitalan bahan arkib oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui ANM telah memudahkan rakyat mengakses dokumen dan bahan sejarah yang
menggambarkan perjalanan serta kepelbagaian masyarakat Malaysia.
“Bahan-bahan berkenaan dipamerkan melalui pelbagai medium yang telah disediakan seperti portal Online Finding Aid, Pameran Maya dan Galeri Maya Negarawan serta Hari Ini Dalam Sejarah (HIDS),” tambahnya. .
Zaidin berkata, ANM juga telah melaksanakan pelbagai program pengembangan seperti pameran, forum sejarah dan program pendidikan bersama sekolah serta institusi pengajian tinggi.
Program-program ini bertujuan menyemai semangat patriotisme, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
Katanya, melalui 11 memorial tokoh-tokoh negararawan, ANM turut mempamerkan koleksi-koleksi peribadi tokoh-tokoh berkenaan agar para pengunjung dapat lebih menghayati pengorbanan generasi terdahulu yang menjadi asas kepada keharmonian negara pada hari ini.
“Memorial yang kami wujudkan adalah Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Memorial Tun Abdul Razak, Memorial Tun Hussein Onn, Memorial Negarawan, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Rumah Merdeka, Memorial Tun Abdul Ghafar Baba, Galeria Sri Perdana, Rumah Kelahiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Pustaka Peringatan P. Ramlee dan Rumah Kelahiran P. Ramlee,” ujarnya.
“Peranan Arkib Negara Malaysia bukan sekadar menyimpan rekod sejarah, malah menjadi platform untuk menyatukan rakyat melalui penghayatan sejarah dan warisan negara. Usaha ini secara tidak langsung akan membina rasa kebersamaan dan jati diri sebagai rakyat Malaysia,” tambahnya.
Zaidin menambah, Program Arkib@Sekolah yang telah dilancarkan pada 5 Mei lalu di Sekolah Menengah St. Mary, Sandakan akan diteruskan dan diperluaskan lagi pada tahun depan.
“Program Arkib@Sekolah ini yang telah dilaksanakan di beberapa buah sekolah termasuk di Kedah dan Kelantan bertujuan mendekatkan bahan arkib kepada warga sekolah, khususnya para pelajar, bagi memupuk kesedaran sejarah, jati diri dan semangat patriotisme.
“Sepanjang pelaksanaannya, pelbagai aktiviti sisipan yang menarik telah dilaksanakan seperti pameran Malaysia Tanah Airku, demonstrasi pemeliharaan bahan arkib, kuiz sejarah, teka silang kata serta aktiviti mengenali tokoh kemerdekaan. Turut diadakan juga adalah aktiviti berkumpulan seperti Eksplorasi Arkib@Sekolah dan Eksplorasi Negarawan,” ujarnya.
Dalam pada itu, program Arkib Komuniti yang telah dilancarkan di Klang pada 17 Mei lalu akan juga diperluaskan ke lebih banyak komuniti dan daerah di seluruh negara pada tahun depan bagi menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam pengesanan, pengumpulan, pendokumentasian dan pemeliharaan warisan komuniti. – MalaysiaGazette
















