Malik Streams Corporation Bakal menaja 1,000 pelajar untu program ‘Back To School’ kali ke-8 tahun.

KUALA LUMPUR – Malik Streams Corporation meneruskan tradisi menaja seramai 1,000 pelajar daripada keluarga B40 masyarakat India yang bakal memasuki Tahun Satu pada sesi persekolahan tahun hadapan.

Ia dilakukan menerusi pelaksanaan program Back To School, dengan kos keseluruhan dianggarkan sekitar RM200,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation dan pengasas MS Gold, Datuk Abdul Malik Dashtigeer berkata, program dilaksanakan masuk tahun ke-8 itu bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa berpendapatan rendah yang berdepan kos persekolahan semakin meningkat.

Menurut beliau, setiap pelajar terpilih akan menerima kelengkapan asas persekolahan termasuk pakaian seragam, beg sekolah, kasut serta keperluan pembelajaran lain bagi memastikan mereka memulakan alam persekolahan dengan lebih yakin.

“Fasa awal persekolahan merupakan tempoh penting dalam pembentukan minat belajar kanak-kanak. Kami mahu memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Program Back To School sebelum ini yang mana Malik Streams telah menaja ribuan pelajar dalam kalangan B40 saban tahun.

Beliau turut menggalakkan ibu bapa dan guru untuk mengemukakan permohonan bagi pelajar yang layak bermula 20 hingga 27 Disember ini bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan.

Katanya, semua permohonan akan melalui proses semakan dan pengesahan oleh pasukan Malik Streams Corporation sebelum bantuan disalurkan sebelum bermulanya sesi persekolahan seluruh negara.

Selain Malik Streams Corporation, Abdul Malik menjelaskan, MS Gold, yang diasaskannya turut memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan program kebajikan dan pendidikan melalui sumbangan berterusan hasil operasi perniagaan syarikat tersebut.

Jelasnya, penglibatan MS Gold dalam inisiatif CSR mencerminkan pendekatan perniagaan berasaskan nilai di mana kejayaan korporat disalurkan semula kepada masyarakat khususnya golongan yang memerlukan.

Tambahnya, program Back To School itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan secara konsisten saban tahun termasuk bantuan pendidikan, kebajikan masyarakat serta sumbangan sempena musim perayaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast