Rostam menunjukkan longgokan kayu balak dan beberapa rumah termasuk kediamannya yang hanyut dalam banjir di Desa Geudumbak, Aceh Utara, Indonesia, semalam

ACEH – Kira-kira 40 penduduk di Desa Geudumbak, Aceh Utara di sini berlindung atas bumbung surau bagi menyelamatkan diri semasa banjir besar yang melanda pada 26 November lalu.

Imam  surau berkenaan, Rostam Abdullah, 49, berkata, penduduk berdekatan surau dua tingkat di kampung tersebut terpaksa memanjat sehingga ke bumbung semasa banjir kerana sudah terkepung dengan air sungai yang melimpah deras.

“Air banjir dari sungai naik dengan cepat hingga menenggelamkan bahagian bawah dan merobohkan sebahagian struktur surau. Penduduk yang tidak sempat keluar dari kampung menyelamatkan diri sehelai sepinggang ke surau ini.

“Namun air terus naik sehingga ke tingkat dua dan memaksa mereka sama ada lelaki atau wanita, kanak-kanak memanjat naik ke bumbung termasuk saya. Terdapat seorang mangsa banjir mengalami strok.

“Sebelum banjir hampir menenggelamkan tingkat dua surau ini, lelaki strok berkenaan diikat dengan tali sebelum ditarik naik ke atas. Keadaan amat cemas, sukar dan menakutkan kerana sekeliling sudah menjadi lautan,” katanya.

Dia berkata demikian ketika pemberita ketika ditemui dalam Misi Kemanusiaan Sumatera 2025 di surau tersebut, semalam yang dijadikan pusat perlindungan mangsa banjir dan tempat mengagihkan bantuan.

Misi tersebut dianjurkan Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) dan Pasaraya Econsave yang bermula 18 hingga 23 Disember ini dalam usaha memberi bantuan kepada mangsa banjir di kawasan Aceh dan sekitarnya.

Bercerita lanjut, Rostam berkata, keadaan menjadi semakin cemas apabila hujan berterusan tiga hari tanpa henti dan banjir bertambah buruk hingga arus derasnya membawa banyak sisa kayu serta kayu balak yang hanyut dari gunung berdekatan.

Menurut Rostam, longgokan kayu balak yang dibawa arus itu kemudian seperti menbentuk benteng di tepi surau tersebut seolah-olah menghalang banjir daripada terus merobohkan struktur surau tersebut.

Pada masa sama katanya, dapat dilihat arus banjir yang membawa kayu balak merobohkan kira-kira 100 rumah penduduk sebelum hanyut dan hilang ditelan arus deras dalam sungai di kampung itu.

“Rumah saya turut runtuh dan hilang sekelip mata. Rumah dan kereta saya hanyut dan yang tinggal kini hanya tapak rumah. Kira-kira 200 hektar kebun milik penduduk juga musnah.

“Terdapat kira-kira 150 rumah di Desa ini dan 100 rumah hanyut iaitu hampir 80 peratus rumah di kampung ini. Keadaan itu membuatkan mangsa banjir terbabit hilang tempat tinggal dan terpaksa tinggal di surau ini dan mendirikan khemah,” katanya.

Dakwanya, semasa dua hari berlindung atas bumbung surau, penduduk hanya minum air hujan dalam keadaan hujan dan kesejukan serta terpaksa menahan lapar selama dua hari dua malam.

Selepas dua hari katanya, air mula surut tetapi hanya di tingkat dua surau itu dan mereka berlindung pula di tingkat dua dan tidak dapat pergi ke mana-mana kerana tingkat bawah masih tenggelam.

“Semasa banjir, sebahagian penduduk berlindung di surau ini manakala yang lain ke tempat tinggi dan mendirikan khemah selain ada juga yang memanjat pokok kelapa serta pokok kelapa sawit.

“Banjir besar ini mengorbankan lapan penduduk iaitu semasa menyeberang arus dan terperangkap dalam timbunan kayu. Tujuh mayat sudah ditemui sementara seorang lagi masih hilang hingga kini,” ujar bapa kepada empat anak itu.

Rostam berkata, penduduk bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak dalam dan luar negara yang menyumbang termasuk dari Malaysia kerana prihatin dengan nasib mereka.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir yang kehilangan rumah dihanyutkan banjir, Bariah Alamshah, 60, berkata, banjir kali ini paling teruk hingga paras bumbung sebelum kediamannya turut roboh.

“Kira-kira 10 rumah berdekatan rumah saya turut hanyut dalam banjir. Saya dan tiga anak menyelamatkan diri ke sekolah berdekatan sebelum mendirikan khemah untuk berteduh sehingga kini.

“Sudah 24 hari kami tinggal dalam khemah. Ketika ini kami masih tidak cukup pakaian, makanan dan air bersih. Beras ada sedikit. Kami bingung apabila apa yang tinggal hanya semen tapak rumah,” katanya.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melalui MyCare menerusi CIMB bank Berhad 8602135592.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast