KUALA LUMPUR – Penyanyi rap kontroversi, Namewee dibebaskan daripada pertuduhan menggunakan dadah selepas keputusan ujian air kencingnya didapati negatif oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Namewee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee dibebaskan selepas Majistret S Arunjothy dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa, pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan berkenaan susulan ketiadaan bukti sokongan.
Kata Amritpreet ketika prosiding pagi ini, keputusan ujian makmal mengesahkan Namewee tidak berada di bawah pengaruh dadah ketika ditahan dan ia menyebabkan pertuduhan penggunaan dadah tidak dapat diteruskan.
Susulan perkembangan itu, peguam tertuduh, Joshua Tay kemudian memohon mahkamah mengeluarkan perintah pelepasan dan pembebasan sepenuhnya terhadap anak guamnya, dengan alasan tiada lagi asas undang-undang untuk didakwa semula atas pertuduhan sama.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan berkenaan dan membebaskan Namewee sepenuhnya daripada pertuduhan penggunaan dadah.
Sebelum ini, Namewee mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya, masing-masing berkaitan pemilikan dan penggunaan dadah.
Kes berkaitan pertuduhan pemilikan dadah yang dihadapinya dijadualkan untuk sebutan semula pada 19 Januari tahun depan.
Pada 22 Oktober lalu, Namewee ditahan di sebuah hotel di ibu negara selepas polis menemui sembilan pil biru yang disyaki dadah jenis ekstasi di dalam bilik penginapannya.
Ketika itu, polis turut mendakwa ujian saringan awal menunjukkan tertuduh positif beberapa jenis bahan terlarang sebelum pertuduhan difailkan di mahkamah dua hari kemudian.
Selain kes dadah, pemuzik berkenaan juga pernah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pempengaruh dari Taiwan, Hsieh Yun Hsin namun dibebaskan dengan jaminan sementara sementara menunggu laporan toksikologi dan bedah siasat. – MalaysiaGazette
















