Ketua AMK Johor
Faezuddin Mohd Puad

JOHOR BAHRU – Mana-mana pihak tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan mengelirukan berkenaan semakan kehakiman yang menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak semalam.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, ini kerana perkara tersebut sudah diputuskan pihak mahkamah yang tidak wajar dipersoalkan.

“Jangan nak bina naratif bukan-bukan. Contohnya yang dimainkan sekarang kuasa Raja-Raja telah dikurangkan zaman sekarang ini. Tak ada kena mengena langsung.

“Dulu tahun 2016, undang-undang tak benarkan tahanan rumah buat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sekarang tahun 2025, mahkamah guna pakai undang-undang yang sama juga. Makanya permohonan Najib Razak ditolak,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dalam kenyataannya mempersoalkan keputusan mahkamah tersebut yang mempunyai kesan besar bukan sahaja terhadap Najib tetapi juga institusi raja-raja Melayu.

Hassan melontarkan pertanyaan mengapa dalam kes Anwar yang juga Perdana Menteri mendapat keampunan sedangkan Najib pula sebaliknya.

Mengulas lanjut, Faezuddin yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulai berkata, semua pihak perlu menghormati undang-undang termasuk apa sahaja keputusan yang sudah dibuat.

“Jadi tolong jangan pecah belahkan rakyat dengan mewujudkan hal yang tak logik dan hormatilah undang-undang.

“Selain itu, kita janganlah meraikan keputusan ini. Tidak manis. Walaupun ada beza pandangan, kita gesa hormati keputusan mahkamah tapi dalam masa sama perlu jaga perasaan kawan-kawan dalam perpaduan. Ini pendirian kita,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast