Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir bagi keputusan berhubung kesahihan serta pelaksanaan Titah Adendum untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 DISEMBER 2025.

PONTIAN – UMNO perlu serius mempertimbangkan untuk menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan susulan keputusan mahkamah menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai dalam satu kenyataan memberitahu, langkah tersebut bukan bertujuan mencetuskan ketidakstabilan.

Namun katanya, sebagai isyarat tegas bahawa UMNO tidak sanggup berkompromi dengan prinsip undang-undang dan integriti demi kelangsungan kuasa politik jangka pendek.

“UMNO tidak boleh terus berdiam diri atau berlindung di sebalik alasan kestabilan jika harga yang perlu dibayar ialah kepercayaan rakyat dan maruah parti.

“Sikap teragak-agak hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa UMNO takut kehilangan kuasa dan gagal mempertahankan nilai perjuangan asalnya,” menurut Pemuda UMNO Bahagian Pontian dalam kenyataan tersebut.

Semalam Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Najib bagi memaksa kerajaan dan enam pihak lain melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah, berkaitan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Susulan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan mendedahkan wujud desakan dalam kalangan ketua-ketua UMNO bahagian seluruh negara supaya parti itu menilai semula kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan susulan keputusan itu.

Selain itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh, secara terbuka menggesa parti tersebut menarik sokongan daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan menyatakan lebih baik UMNO menjadi pembangkang yang bermaruah daripada terus ‘dihina’.

Mengulas lanjut, Pemuda UMNO Bahagian Pontian memaklumkan, pada masa yang sama sebarang keputusan mesti dibuat secara berhemah, menghormati proses perlembagaan dan kepentingan negara secara keseluruhan.

Tegasnya, keberanian tanpa hikmah adalah kezaliman tetapi kebijaksanaan tanpa ketegasan adalah kelemahan, UMNO mesti mengimbangi kedua-duanya.

“Masa depan UMNO tidak boleh dibina atas ketakutan atau kompromi berpanjangan, tetapi atas keberanian mempertahankan prinsip, mendengar suara akar umbi dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu atau gabungan politik.

“Sejarah akan menghakimi bukan mereka yang hilang kuasa kerana berprinsip, tetapi mereka yang kehilangan prinsip demi mengekalkan kuasa,” tegasnya lagi.

UMNO katanya, kini berada di persimpangan kritikal yang menuntut keberanian, kebijaksanaan dan kejelasan prinsip.

Perkembangan berterusan berkaitan kes Najib telah menimbulkan persoalan besar dalam kalangan ahli, penyokong serta rakyat mengenai keadilan, ketelusan dan maruah institusi negara.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast