UTeM menjadi tuan rumah International University Carnival on E-Learning (IUCEL) 2025 yang berlangsung di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mbuktikan prestij dan keunggulannya sebagai peneraju pendidikan digital negara apabila dipilih sebagai tuan rumah International University Carnival on E-Learning (IUCEL) 2025 yang
berlangsung, baru-baru ini.

Penganjuran berprestij ini menandakan komitmen berterusan UTeM dalam menerajui transformasi e-pembelajaran dan inovasi pendidikan tinggi di peringkat nasional serta antarabangsa.

Program yang diadakan di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal ini telah berjaya menghimpunkan sebanyak 168 penyertaan melibatkan warga akademik, pelajar dan penyelidik daripada universiti awam, swasta dan institusi antarabangsa, termasuk Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Taylor’s University, Norwegian University of Science and Technology serta Xiangnan University, Chenzhou China.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, penganjuran IUCEL 2025 mencerminkan peranan strategik universiti dalam membentuk landskap pendidikan digital masa hadapan negara.

Ujarnya, UTeM bukan sekadar menjadi penganjur, malah bertindak sebagai pemacu utama inovasi e-pembelajaran negara apabila IUCEL 2025 menjadi wadah penting untuk menyatukan kepakaran akademik, teknologi dan industri bagi membangunkan
ekosistem pembelajaran digital yang mampan, inklusif dan berimpak tinggi.

“Transformasi pendidikan digital bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik dalam melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan era kecerdasan buatan.

“Melalui integrasi teknologi digital, kepintaran buatan (AI) dan keselamatan siber, UTeM komited melahirkan graduan berfikiran futuristik, berkemahiran tinggi dan mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

Karnival tahunan yang dianjurkan secara penggiliran oleh Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dengan kerjasama Majlis Ketua-Ketua e-Pembelajaran IPTA Malaysia (MEIPTA) serta sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini berfungsi sebagai platform utama untuk mempamerkan inovasi e-pembelajaran, teknologi pendidikan, TVET digital, micro-credential dan sumber pendidikan terbuka.

Sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan inovasi yang dipertandingkan, sebanyak 34 Pingat Emas, 84 Pingat Perak dan 50 Pingat Gangsa telah dianugerahkan.

Selain itu, enam Anugerah IUCEL 2025 turut disampaikan kepada tokoh dan inovator e-pembelajaran yang cemerlang dari seluruh negara.

Pemilihan UTeM sebagai tuan rumah IUCEL 2025 turut mengukuhkan lagi reputasi universiti sebagai hab inovasi pendidikan digital, sejajar dengan penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX) yang menjadi teras strategik UTeM dalam memacu pendidikan berasaskan AI dan keselamatan siber.

Secara keseluruhan, IUCEL 2025 bukan sahaja memperkukuh jaringan kolaborasi antara universiti, industri dan komuniti akademik global, malah menegaskan komitmen teguh UTeM dalam menjulang agenda pendidikan digital negara serta
membentuk masa depan pembelajaran yang lebih fleksibel, inovatif dan berdaya tahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast