Mohamed Sukri Omar

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor perlu secara jujur mengiktiraf Selangor kini berdepan krisis kos sara hidup bandar dan menggubal dasar yang berpaksikan realiti keluarga, bukan semata mata angka makro ekonomi.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata ia terbukti menerusi pendedahan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berhubung Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) tahun lalu yang menyatakan Shah Alam satu-satunya ibu negeri di Malaysia yang mencatat kos sara hidup asas keluarga lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur.

Katanya, situasi berkenaan mendedahkan jurang antara kos sara hidup dengan keupayaan pendapatan sebenar rakyat khususnya golongan muda, keluarga muda, pekerja industri dan sektor perkhidmatan yang menjadi tulang belakang ekonomi Selangor.

Ujarnya, lebih membimbangkan apabila dilaporkan purata perbelanjaan bulanan asas kehidupan wajar di daerah Petaling mencecah RM6,870 dan di Klang RM6,404, jauh lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur yang berada pada paras RM5,639.

“Ini bermakna keluarga di Shah Alam terpaksa bekerja lebih keras, berbelanja lebih banyak dan berkorban lebih besar hanya untuk mencapai tahap hidup yang dianggap wajar dan bermaruah.

“Isu ini bukan soal statistik semata mata, tetapi soal keadilan sosial, kelangsungan hidup dan masa depan generasi,” katanya dalam kenyataan.

Justeru katanya, kos sara hidup tidak boleh ditangani dengan hanya retorik, slogan atau bantuan bersifat sementara.

Sebalikya Mohamed Sukri berkata, ia menuntut pendekatan dasar yang menyeluruh, berani dan berteraskan rakyat.

Menurutnya, pembinaan perumahan mampu milik di negeri itu tidak boleh sekadar projek kosmetik sebaliknya mesti berfungsi untuk keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Katanya lagi, dasar pengangkutan awam, penjagaan anak dan pendidikan awal termasuklah keperluan asas keluarga di Selangor tidak boleh diurus secara berasingan dan terpisah, sebaliknya disepadukan sebagai pakej kos sara hidup bandar yang menyeluruh.

Selain itu, peluang pekerjaan bergaji wajar dan perlindungan sosial untuk golongan muda serta keluarga pekerja perlu diperkukuh agar pertumbuhan ekonomi negeri dapat diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, bukan hanya keuntungan segelintir pihak, katanya.

“Pemuda PAS Selangor percaya bahawa kemajuan sebenar sesebuah negeri bukan diukur pada bangunan tinggi atau pelaburan besar semata mata, tetapi pada kemampuan rakyatnya untuk hidup dengan tenang, bermaruah dan berdaya saing tanpa dihimpit tekanan kos yang melampau,” jelasnya.

Semalam media melaporkan, Indikator Kos Sara Hidup Malaysia 2024 dikeluarkan DOSM merekodkan Selangor mencatat kos kehidupan wajar tertinggi bagi semua saiz isi rumah, manakala Kelantan, Kedah dan Perlis antara negeri dengan kos terendah.

Penerbitan itu memperkenalkan Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW), iaitu indikator baharu bagi mengukur tahap perbelanjaan minimum yang diperlukan untuk mengekalkan kehidupan wajar merentas negeri, daerah pentadbiran dan ibu negeri.

Indeks berkenaan menggunakan Kuala Lumpur sebagai rujukan dengan nilai 100, manakala lokasi lain diukur secara relatif, dengan nilai lebih rendah menunjukkan keperluan perbelanjaan rendah dan nilai lebih tinggi mencerminkan kos kehidupan wajar yang tinggi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast