Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jempol, Mohd Izwan Kamar Badri

KUALA LUMPUR – Kegagalan Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin menarik balik dan memohon maaf kerana menghina Datuk Seri Najib Tun Razak hanya menyerlahkan sikap biadab dan angkuh terhadap rakan komponen Kerajaan Perpaduan.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jempol, Mohd Izwan Kamar Badri berkata, Bee Yin tidak sepatutnya menggunakan isu Titah Adendum tahanan rumah untuk meraih publisiti murahan.

“Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jempol mengecam sekeras-kerasnya Yang Berhormat Yeo Bee Yin atas kenyataan dan sikapnya yang jelas biadab, angkuh, dan provokatif terhadap rakan dalam kerajaan.

“Seorang pemimpin yang matang tidak menggunakan isu orang lain sebagai pentas politik peribadi, tidak merendahkan rakan dan tidak bersorak di atas kesusahan pihak lain,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Isnin lalu, Bee Yin selaku Setiausaha Publisiti DAP memuat naik hantaran di akaun Facebook miliknya berbunyi; ‘satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini’.

Dalam hantaran sama, Bee Yin juga memuat naik pautan berita portal mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkenaan Titah Adendum tahanan di rumah.

Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tidak pernah dibincang mahupun diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari tahun lalu.

Izwan juga berkata, tindakan Ahli Parlimen Puchong itu hanya menyerlahkan sikap kurangnya adab, empati dan tanggungjawab politik yang hanya menimbulkan perpecahan, menghakis muafakat serta mencemarkan etika kepimpinan.

“Hormatilah rakan kerajaan, jagalah adab dan hentikan provokasi politik yang langsung tidak bertanggungjawab,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast