KUALA LUMPUR – Jurulatih Akademi Mokhtar Dahari bawah 17 tahun (B-17), Amirizdwan Taj Tajuddin memberi bayangan akan meninggalkan Program Pembangunan Bola sepak Negara (NFDP) pada tahun depan.
Menerusi hantaran menerusi InstaStory miliknya, bekas pemain kebangsaan itu menimbulkan persoalan bahawa dia tidak akan lagi mengendalikan pasukan di bawah NFDP itu.
“Terima kasih untuk lima tahun. Dapat tuan rumah yang baik pun satu rezeki yang besar. Lima tahun kalau call minta tolong apa-apa mesti sampai.
“Kat sini juga tempat buat makan-makan kumpul AMD family banyak kenangan manis. Jiran-jiran pun baik sekeliling Alhamdulillah.
“Moga penghijrahan ini membawa seribu makna dan membuka lembaran baharu Amin,” tulisnya di sini.
Sebelum ini, Pengarah Teknikal baharu NFDP, Datuk Ong Kim Swee menegaskan dia sedia untuk melakukan perubahan bagi memastikan objektif melahirkan pemain muda berkualiti serta pelapis berpotensi buat pasukan Harimau Malaya dapat direalisasikan.
Bekas ketua jurulatih kebangsaan itu berkata, sebarang penstrukturan semula yang akan dilakukan bergantung sepenuhnya kepada kemampuan peruntukan sedia ada namun beliau melihat perkara itu tidak akan dijadikan alasan untuk gagal mencapai objektif utama NFDP.
Beliau yang bekas ketua jurulatih Sabah FC memberitahu, langkah paling asas yang perlu dilakukan adalah menilai barisan jurulatih sedia ada sama ada mereka masih relevan untuk dikekalkan atau terpaksa dilepaskan demi kelangsungan program.
“Memang akan ada perubahan, tetapi ia sangat bergantung kepada perbelanjaan dan bajet.
“Saya tidak berada dalam situasi seperti pengarah teknikal sebelum ini, tetapi itu bukan alasan kerana tugas utama saya adalah mencungkil dan melahirkan bakat muda berkualiti.
“Tentu sekali akan ada yang baharu dan ada yang keluar. Itu adalah perkara biasa dalam mana-mana organisasi dan lumrah dalam dunia pekerjaan,” katanya yang juga bekas ketua jurulatih Persis Solo dan Persik Kediri di Liga Indonesia. – MalaysiaGazette















