KUANTAN – UMPSA Holdings Sdn. Bhd. (UMPSAH), anak syarikat komersial Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), meneroka pasaran antarabangsa melalui dua kerjasama strategik utama, membuktikan sebuah syarikat dari bandar kecil seperti Gambang mampu memberi impak global.
Kerjasama pertama telah dimeterai dengan Chulia Middle East Technical Services LLC, sebuah syarikat pengurusan fasiliti (FM) antarabangsa berpangkalan di Malaysia, melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 18 November 2025 di Dubai.
Kolaborasi ini merangkumi pengurusan fasiliti pintar, Building Information Modelling (BIM), penyelesaian bangunan berasaskan IoT, pengurusan projek, perkhidmatan pembersihan serta penyelesaian teknikal khusus seperti kawalan kakisan paip air sejuk untuk sistem HVAC berskala besar.
Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias berkata, MoU ini mencerminkan komitmen bersama terhadap inovasi, pertukaran ilmu dan penciptaan nilai lestari untuk Malaysia, UAE dan seterusnya.
Ts. Mohd Fadzil Mohd Idris, Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMPSAH, menambah, melalui kerjasama ini, ekosistem penyelidikan dan inovasi UMPSA kini bersambung dengan industri antarabangsa.
“Bersama Chulia, kami berhasrat mengkomersialkan teknologi tempatan dan menjadikan inovasi akademik sebagai penyelesaian nyata di dunia sebenar,” katanya.
Ditubuhkan pada 1995, Chulia Middle East, anak syarikat Chulia Facilities Management Sdn. Bhd. (Malaysia), kini mengurus lebih 500 kontrak FM, mempunyai lebih 700 pekerja mahir dan telah melaksanakan lebih 30 projek utama di UAE.
Kolaborasi ini membuka peluang bagi UMPSAH untuk menyediakan penyelesaian transformatif kepada sektor awam dan swasta di Malaysia dan Timur Tengah.
Dalam inisiatif berasingan, UMPSAH juga menandatangani MoU dengan Albatross Tech Pvt. Co. Ltd., China, bagi menubuhkan Pusat Inkubator Teknologi Ruang Udara Rendah dan Pusat Dron pertama di Pahang.
Pusat ini akan memacu penyelidikan, ujian, pemindahan teknologi dan inovasi bersama dalam sistem dron, kenderaan autonomi, robotik dan teknologi pertanian di Agriculture Twin Park seluas 180 ekar di Luit, Maran.
Salah satu objektif utama kerjasama ini ialah membangunkan dron buatan Malaysia, mengukuhkan pembuatan berteknologi tinggi tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import dan meletakkan Malaysia sebagai pemain baru di arena industri dron global.
Pusat ini akan menyokong pelbagai sektor termasuk pertanian pintar, pemeriksaan infrastruktur, logistik, pengurusan aset dan perkhidmatan komersial dron. – MalaysiaGazette
















