PONTIAN – Kementerian Kerja Raya mencadangkan agar tanah-tanah terbiar di seluruh negara dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi di peringkat kampung, khususnya menerusi inisiatif Projek Sejati Madani.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, berdasarkan data tahun 2023, sebanyak 13,563 hektar tanah terbiar direkodkan di bawah simpanan datanya, termasuk di Labuan namun tidak melibatkan Sabah dan Sarawak.
Beliau berharap data tersebut masih relevan untuk dijadikan rujukan dalam merangka dasar dan pelaksanaan projek pembangunan komuniti.
“Projek Komuniti Madani boleh memfokuskan salah satu inisiatifnya untuk melaksanakan projek di atas tanah-tanah terbiar di kampung masing-masing.
“Pendekatan ini bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan tanah, malah mampu meningkatkan ekonomi serta kesejahteraan penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Cakna Ilmu Tanah: Perkongsian UTM & Komuniti Desa 2026 di Dewan Terbuka Kampung Parit Dato’ Onn, Api-Api di sini hari ini.
Program tersebut dianjurkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) dengan kerjasama Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS).
Mengulas lanjut, Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian menjelaskan bahawa aspek pengurusan tanah antara perkara penting yang dibincangkan dalam program berkenaan, khususnya melibatkan tanah rizab Melayu, tanah terbiar serta isu berkaitan Akta Tanah.
Menurut beliau, kerajaan kini sedang melaksanakan pelbagai usaha melalui Projek Sejati Madani yang digerakkan di peringkat kampung menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa sebelum ini satu cadangan telah dikemukakan agar persatuan tidak dibenarkan terlibat dalam Projek Sejati Madani.
Namun begitu, Ahmad mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan penglibatan persatuan belia melalui Kementerian Belia dan Sukan.
“Sebagai Ahli Majlis Pembangunan Belia Malaysia di bawah Jawatankuasa Khas Kabinet, saya menerima banyak maklum balas daripada persatuan belia yang menyatakan hasrat untuk terlibat secara aktif,” katanya.
Difahamkan cadangan tersebut akhirnya diluluskan dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika Hannah Yeoh masih menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan.
Kini, persatuan belia dibenarkan melaksanakan Projek Sejati Madani di peringkat JPKK kampung.- MalaysiaGazette
















