KUALA LUMPUR – Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang berlangsung hari ini diharap dapat menjadi ruang untuk sayap parti itu memperkukuhkan peranan generasi muda dalam menyumbang idea serta pandangan yang membina demi masa depan negara.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim yang mengucapkan selamat berkonvesyen kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh turut berharap perbincangan yang berlangsung akan membawa kebaikan dan manfaat buat negara.
Menurutnya, setiap pihak mempunyai peranan penting untuk menjaga sensitiviti, mengelakkan polemik yang tidak perlu, serta memastikan setiap pandangan yang disuarakan bersifat membina dan berpaksikan kepentingan rakyat keseluruhannya.
Ia penting bagi menjaga kestabilan dan keharmonian negara yang majmuk.
“Dalam realiti Malaysia yang majmuk, kestabilan dan keharmonian hanya dapat dipelihara melalui kebijaksanaan, kesederhanaan dan rasa tanggungjawab bersama,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, sebagai kerajaan Madani yang sentiasa menekankan nilai ihsan, kepercayaan dan kemajuan semua pihak perlu terus mengamalkan pendekatan yang berhemah dan memperkukuhkan kerjasama antara satu sama lain selain daripada bertanggungjawab bersama-sama memelihara keyakinan pentadbiran terhadap rakyat.
“Hakikatnya, kita semua adalah satu keluarga besar. Perbezaan pandangan adalah lumrah, justeru perlu diurus dengan semangat saling menghormati, memahami dan menyantuni antara satu dengan yang lain.
“Walaupun berlainan latar belakang dan bangsa, kita tetap dengan satu tujuan yang sama; memelihara keharmonian dan membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang. Dengan komitmen bersama, insya-Allah kestabilan politik dan kemajuan Malaysia akan dapat terus dikekalkan.
Konvensyen khas anjuran Pemuda UMNO yang berlangsung hari ini bagi membincang, meneliti serta membuat keputusan mengenai hala tuju parti khususnya berkaitan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan.
Konvensyen tersebut bertajuk ‘Hala Tuju UMNO: Kekal Atau Keluar Daripada Kerajaan Perpaduan’ itu akan berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di ibu negara. – MalaysiaGazette
















