KUALA LUMPUR — Polis menahan seorang lelaki susulan insiden pergaduhan di Plaza Tol Sungai Long, Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE) menghala ke Balakong yang tular di media sosial kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek berusia 30 tahun yang bekerja sebagai pekerja swasta itu ditahan kira-kira pukul 10.30 malam tadi.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Naazron, suspek direman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” jelasnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden berkenaan diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-974 0758 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, media melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung kes pergaduhan membabitkan dua individu, dengan seorang daripada mereka dilihat memegang objek disyaki kayu di plaza tol berkenaan. – MalaysiaGazette
















