KUALA LUMPUR – Kesatuan orang Melayu adalah asas kepada kestabilan negara, kata Naib Presiden Muafakat Nasional (MN), Dr. A. Subash Chandrabose.
Menurutnya, sejarah membuktikan apabila orang Melayu bersatu, negara berada dalam keadaan yang lebih aman, sistem pentadbiran lebih stabil dan kebajikan semua kaum termasuk kaum bukan Melayu lebih terjamin.
Sehubungan itu, penubuhan MN bukan soal kepentingan parti semata-mata, tetapi satu usaha besar untuk menyatukan orang Melayu yang hari ini semakin berpecah kepada pelbagai kumpulan, fahaman dan kepentingan politik.
Tambahnya, perpecahan itu bukan sahaja melemahkan orang Melayu, malah menggugat kestabilan negara secara keseluruhan.
“MN percaya bahawa perpaduan orang Melayu bukan ancaman kepada kaum lain, sebaliknya ia adalah jaminan kepada keselamatan, keadilan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia.
“Negara yang stabil memerlukan teras yang kukuh, dan dalam konteks Malaysia, teras itu adalah perpaduan Melayu yang matang, inklusif dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Subash Chandrabose yang juga Pengarah Media dan Komunikasi Strategi, Dewan Himpunan Pendukung Pas Pusat, MN menolak naratif sempit yang cuba menggambarkan penyatuan Melayu sebagai bersifat eksklusif atau menindas.
Katanya, MN sentiasa memperjuangkan keadilan sosial, kebajikan rakyat tanpa mengira kaum, serta sistem yang lebih sihat dan selamat untuk semua.
“Hari ini, orang Melayu terlalu lama dipecahkan oleh perbezaan politik dan kepentingan sempit. Sudah tiba masanya orang Melayu kembali bersatu, bukan untuk menindas sesiapa, tetapi untuk memimpin dengan adil dan melindungi semua rakyat,” katanya.
Sementara itu, beliau melahirkan keyakinan negara yang dipimpin oleh Melayu yang bersatu dan berprinsip akan menjadi negara yang lebih selamat untuk kaum bukan Melayu, lebih stabil dari segi ekonomi, dan lebih adil dalam pentadbiran.
“Inilah semangat MN, perpaduan sebagai asas kestabilan, dan keadilan sebagai teras pemerintahan.
“MN bukan untuk satu kaum sahaja, tetapi untuk masa depan Malaysia yang aman dan bersatu,” katanya. – MalaysiaGazette
















